
Beliau menjelaskan tujuan parti Islam itu mahu mengusulkan undi percaya di Dewan Rakyat terhadap Mahathir, yang sepatutnya menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengikut persefahaman dalam kalangan parti pemerintah.
“Bukan saya nak kipas, saya nak selamatkan rakyat,” katanya dalam satu video di Facebook.
Presiden parti pembangkang itu akui memberi undi percaya kepada Mahathir akan meneguhkan kedudukannya sebagai perdana menteri, kerana setiap wakil rakyat yang menyokong mewakili rakyat kawasan masing-masing.
“Semua parti ada lebih lagi sebulat suara…kalau ada tak setuju, kita tahu siapa,” katanya.
PAS pada Sabtu mengumumkan ahli Parlimen akan membawa unsul undi percaya pada sidang Dewan Rakyat bulan depan, ekoran “kemelut tak sudah-sudah” yang mengganggu kestabilan politik dan ekonomi”.
Usul itu akan dibawa pada persidangan 9 Mac hingga 16 Apr depan.
Beberapa bulan mutakhir ini, beberapa pihak mendesak peralihan kuasa daripada Mahathir kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim. Beberapa ahli Parlimen daripada DAP dan PKR juga mengkritik Mahathir secara terbuka.
Hadi ketika ditanya berkata beliau percaya sidang Parlimen akan lebih teratur selepas kepercayaan diberikan kepada Mahathir untuk menghabiskan penggalnya sebagai perdana menteri.
“Lebih tumpu pada rakyat. Tak ada tanda tanya siapa nak ambil alih.”
Hari ini, Mahathir sekali lagi menegaskan beliau akan menunaikan janji menyerahkan tampuk pemerintahan kepada penggantinya selepas sidang Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec), yang Malaysia akan anjurkan pada November.