Orang Asli nafi laporan ‘hidup’ di tapak pelupusan sampah

Kanak-kanak dipercayai dari perkampungan Orang Asli dilihat berada di sebuah tapak pelupusan sampah di Muadzam Shah, Pahang. (Gambar Twitter)

KUANTAN: Penduduk Orang Asli suku Jakun hari ini menafikan mereka hidup di tapak pelupusan sampah di Jalan Bukit Ibam, Muadzam Shah di Rompin, sekali gus menepis dakwaan laporan akhbar berbahasa Inggeris yang tular di laman sosial sejak semalam.

Seorang daripada mereka yang dirakam berada di tapak pelupusan itu, Mahmud Dom, 55 berkata, ketika itu mereka hanya mencari bahan kitar semula seperti tin, botol dan besi yang boleh dijual semula bagi menambah pendapatan.

“Tujuan kami datang ke sini hanya untuk mencari rezeki untuk tambahan belanja. Anak-anak bersekolah rendah dan menengah yang semuanya memerlukan belanja. Kami datang ke sini untuk mencari rezeki demi kehidupan kami.

“Duit tidak mencukupi, jadi emak dan bapa mereka (anak yang bersekolah) itulah yang mengambil botol, besi buruk dan tin untuk dijual. Jika hendak diharapkan gaji RM900 sebulan, memang tidak mencukupi,” katanya menerusi kenyataan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang di sini, hari ini.

Mahmud yang mewakili penduduk Orang Asli berkenaan berkata, dia tidak tahu niat sebenar pihak yang membuat dakwaan tersebut, namun menyifatkan tindakan menyebarkan cerita tidak benar seperti itu mengaibkan suku kaumnya selain memburukkan Jakoa dan kerajaan negeri Pahang serta Malaysia.

Dia yang menjadikan hasil hutan sebagai sumber pendapatan utama juga mengambil kesempatan menyembah ampun kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang juga sultan Pahang selepas dimaklumkan berita itu menyebabkannya sedih.

Mereka yang berada di tapak pelupusan sampah itu mengakui turut terkejut apabila menerima kehadiran pengarah Jakoa Pahang Johari Alwi dan pegawai kerajaan yang mahu mengesahkan dakwaan itu selepas Sultan Abdullah sendiri mengarahkannya sebaik sahaja berita tersebut disiarkan.

“Demi Allah, masyarakat Orang Asli di sini hanya hendak mencari wang menyara makan minum kami. Cerita yang berlaku dalam surat khabar itu tidak benar belaka. Saya mohon ampun kepada Tuanku kerana apa yang Tuanku dengar itu adalah palsu.

“Yang digembar-gemburkan itu adalah tidak benar dan yang mengatakan kami juga makan sampah itu benar-benar mengaibkan bangsa kami di sini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jakoa Pahang berkata, siasatan mendapati 7 keluarga Orang Asli menjadikan tapak pelupusan sampah itu sebagai sumber pendapatan tambahan dengan kesemua mereka mempunyai kediaman sendiri di beberapa perkampungan berhampiran tapak tersebut.

Mereka juga mempunyai pekerjaan tetap seperti di ladang atau menerima dividen hasil tanaman kelapa sawit, namun memilih untuk ke tapak pelupusan sampah itu secara berkala bagi mencari bahan terpakai.

“Anak mereka ada yang ke sekolah dengan bantuan Jakoa dan bagi yang tidak bersekolah, mereka duduk di rumah.

“Ibu bapa memaklumkan anak mereka mahu mengikut ke tapak itu kerana ingin membantu keluarga, bukan akibat paksaan, desakan atau penindasan,” katanya ketika dihubungi hari ini.