Tutup operasi 4 hotel, Najib persoal apakah TH tenat

4 buah hotel milik TH di Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Alor Setar dan Terengganu akan ditamatkan operasi dan perkhidmatan bermula 1 Apr depan.

PETALING JAYA: Najib Razak mempersoalkan apakah hotel yang mempunyai kaitan dengan Lembaga Tabung Haji (TH) ketika ini berada dalam tenat hingga bertindak menamatkan operasi dan perkhidmatan 4 rangkaiannya.

“TH hendak linkup ke apa? Hotel-hotel TH terpaksa tutup selepas dipindah ke syarikat milik Kementerian kewangan,” kata bekas perdana menteri itu dalam satu kenyataan ringkas di Facebook, hari ini.

Najib berkata demikian selepas memuat naik satu surat ditandatangani pemangku pengarah urusan Kumpulan dan ketua pegawai eksekutif TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR) Zulkefli Ahmad bertarikh 17 Feb.

Dalam surat berkenaan dinyatakan 4 buah hotel THHR di TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Pulau Pinang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu akan ditamatkan operasi dan perkhidmatan berkuatkuasa 1 Apr depan.

FMT bagaimanapun tidak dapat mengesahkan kesahihan surat berkenaan.

Dinyatakan, penamatan operasi dan perkhidmatan tersebut merupakan keputusan tidak dapat dielakkan memandangkan operasi dan pengurusan hotel terlibat sudah atau akan diambil alih syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB).

“Bangunan hotel-hotel yang terlibat juga sudah dipindah milik daripada Lembaga Tabung Haji kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd di bawah Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Lembaga Tabung Haji,” katanya.

Menurut surat itu lagi, skim penamatan pekerjaan (SSS) melibatkan anggota yang sudah dikenal pasti sebagai berlebihan akan dilaksanakan di THHR dan 4 rangkaian hotel TH.

“Pengurusan Kumpulan THHR akan memaklumkan perkembangan terkini berkaitan penamatan operasi dan perkhidmatan di hotel-hotel tersebut dari semasa ke semasa.

“Bagi pihak pengurusan kumpulan THHR, kami ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada semua anggota yang terlibat atas dedikasi, komitmen dan kegigihan dalam tempoh perkhidmatan,” kata surat berkenaan.

Sebelum ini, pemimpin parti politik dalam Muafakat Nasional menyuarakan kebimbangan mengenai penjualan aset hartanah milik TH bernilai RM10 bilion kepada syarikat milik Kementerian Kewangan itu.

Ia berkata, antara aset tersebut termasuklah tanah TRX bernilai RM400 juta dan hotel TH seluruh Malaysia yang selama ini banyak memberi sumbangan kepada perolehannya.

Berikutan itu, setiusaha agung Umno, Annuar Musa dan setiausaha agung PAS, Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan bersama mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat semua dakwaan salah laku, penyelewengan dan skandal dalam TH seperti dijanjikan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.