LANGSUNG: Saya cadang saya jadi PM, kata Bung Moktar

KUALA LUMPUR: Beberapa blok politik bertemu Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara bagi membentuk kerajaan baru susulan tumbangnya Pakatan Harapan pada Isnin. 

6.21 petang: Semua kumpulan ahli Parlimen hari ini sudah meninggalkan Istana Negara.

6.14 petang: Kita ada 2 pilihan iaitu namakan seorang perdana menteri atau kita bubar Parlimen, kata Ahli Parlimen Kuala Krau, Ismail Mohamed Said.

6.09 petang: Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak enggan mendedahkan siapa calonnya untuk jawatan perdana menteri.

5.49 petang: Ahli Parlimen Ayer Hitam, Wee Ka Siong ketika ditanya adakah ada satu pemilihan dibuat dalam perjumpaan tadi menjawab: “Jangan buat spekulasi.”

5.48 petang: Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin ketika ditanya siapa calonnya berseloroh mengatakan dia mencalonkan dirinya sebagai perdana menteri.

“Saya cadang nama saya. Saya pilih nama sendiri.”

5.43 petang: Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat beritahu pemberita beliau ditanya siapa yang dia mahu sebagai perdana menteri dan apa pendiriannya mengenai bubar Parlimen.

5.09 petang: Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa beritahu pemberita parti itu akan mengadakan sidang media nanti.

5.00 petang: Ahli Parlimen Petra Jaya, Fadillah Yusof berkata setiap orang diperuntukkan 2-3 minit sahaja bersama Agong, dan mereka perlu tandatangan sesuatu.

Terdahulu, Gabungan Parti Sarawak memaklumkan Agong bahawa semua ahli Parlimennya menyokong kepimpinan Dr Mahathir Mohamad.

4.16 petang: Sekumpulan ahli Parlimem PAS meninggalkan Istana Negara.

4:10 petang: Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah meninggalkan Istana Negara.

3.57 petang: Ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang yang juga Presiden PAS antara pemimpin terawal keluar dari Istana Negara. Beliau bagaimanapun enggan memberikan sebarang kenyataan kepada media.

3.35 petang: Lebih 10 kenderaan termasuk 2 bas membawa ahli Parlimen BN memasuki Istana Negara.

3.20 petang: Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri, Ahli Parlimen Petra Jaya Fadillah Yusof dan Ahli Parlimen Santubong Wan Junaidi Tuanku Jaafar tiba di Istana Negara dengan kenderaan masing-masing.

3.17 petang: Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah memasuki Istana Negara semula selepas hadir ke lokasi, pagi tadi.

3.10 petang: Ahli Parlimen Sembrong Umno Hishammuddin Hussein tiba di Istana Negara dengan kenderaan sendiri, sambil berkata: “Biar saya mengadap Tuanku.”

2.46 petang: Sebuah bas yang membawa ahli Parlimen PAS tiba di Istana Negara.

2.21 petang: Ahli Parlimen Keningau Jeffrey Kitingan memasuki Istana Negara.

1.23 petang: Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertemu pemberita yang menunggu kehadiran pemimpin negara sejak pagi untuk mengadapnya.

“Saya amat prihatin, sila bersabar. Biar saya jalankan tugas saya. Saya juga berharap akan dapat mencari jalan penyelesaian,” katanya di pintu Istana Negara.

12.50 petang: Yang di-Pertuan Agong akan bertemu dengan semua 222 ahli Dewan Rakyat dalam tempoh 2 hari akan datang sebelum perdana menteri baru diputuskan, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin memberitahu media. Ini adalah kali pertama amalan sedemikian dilaksanakan di peringkat persekutuan. Kumpulan pertama 90 ahli Parlimen akan bertemu Agong pada jam 2.30 petang hari ini manakala selebihnya esok.

12.40 petang: Bekas perdana menteri Najib Razak dijangka tiba untuk menghadap Agong, menurut pembantunya.

11:56 pagi: Bekas menteri pendidikan yang juga ahli Majlis Tertinggi PPBM, Maszlee Malik menyapa pemberita sebelum memasuki Istana Negara.

11.40 pagi: Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah memasuki pintu istana. Pemimpin lain yang tiba awal di istana ialah Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan Peguam Negara Tommy Thomas.