Selangor kaji semula kedudukan exco PPBM

Abdul Rashid Asari ialah pengerusi PPBM Selangor yang memegang portfolio kebudayaan dan pelancongan, peradaban Melayu dan warisan negeri.

SHAH ALAM: Kedudukan seorang exco daripada PPBM dalam kerajaan Selangor akan diteliti semula selepas pembentukan kerajaan pusat, kata Menteri Besarnya, Amirudin Shari.

Beliau berkata, ia dilihat perlu dilakukan memandangkan kerajaan negeri itu masih ditadbir gabungan parti dalam Pakatan Harapan (PH).

“Kedudukan PPBM (exco dalam kerajaan negeri) akan dilihat kembali, sebagaimana perbincangan saya dengan Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo dan Pengerusi Amanah, Izham Hashim sebelum ini.

“Kita terpaksa semak juga isu ini kerana agak mustahil kerajaan pusat berbeza parti dan gabungannya (dengan kerajaan negeri). Ia boleh, tapi akan jadi agak janggal,” katanya selepas merasmikan Pesta Buku Selangor 2020 hari ini.

Exco PPBM itu ialah Abdul Rashid Asari yang memegang portfolio kebudayaan dan pelancongan, peradaban Melayu dan warisan negeri, serta ialah pengerusi PPBM Selangor.

Amirudin berkata, beberapa tindakan susulan perlu dilakukan, namun pihaknya tidak akan membuat sebarang keputusan secara tergesa-gesa dan perlu mengikut prinsip PH.

Beliau berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada Rashid mengenai perkara itu, selepas PPBM mengumumkan keluar daripada PH pada 24 Feb lepas.

“Kaji semula kedudukan Rashid akan saya kemukakan kepada istana Selangor dan calon pengganti akan saya umumkan bila sampai waktunya.”

Mengenai dakwaan pihak tertentu yang mendakwanya “pengikut Azmin” sebelum ini, Amirudin yang juga Adun Sungai Tua tidak menafikannya kerana bekas menteri hal ehwal ekonomi itu pernah menjadi timbalan presiden PKR dan ketua bahagian PKR Gombak.

“Tapi dalam keadaan kini, beliau (telah) keluar parti, tetapi saya masih kekal dengan PKR dan masih ‘intact’ dengan PH.

“Kalau saya bertindak secara individu (mengikut jejak Azmin keluar PKR), saya sudah sabotaj kerajaan negeri sekarang atau biarkan saja ia dalam keadaan tak tentu arah.

“Tanggungjawab kena jelas. Ada batasan tertentu dalam hubungan keluarga, kawan atau kenalan, tetapi dalam politik dan organisasi, kita kena ada disiplin serta tanggungjawab.”