Tindakan Agong betul, akhbar UK kurang faham Perlembagaan, kata peguam

Muhyiddin Yassin menerima surat cara pelantikan sebagai perdana menteri ke-8 daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Ahad lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: The Guardian kurang memahami fungsi Perlembagaan Persekutuan dan peranan Agong dalam melantik perdana menteri, kata peguam kanan Bastian Pius Vendargon.

“Perlembagaan kita menetapkan prosedur yang perlu dipatuhi Agong dan peranan berikutnya bagi Dewan Rakyat.”

Beliau berkata demikian susulan editorial akhbar British itu yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah merancang “rampasan kuasa diraja” untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

Malaysia mengikut sistem pentadbiran Westminster, tetapi berbeza dengan British, “kita mempunyai undang-undang utama yang dikanunkan,” kata Vendargon.

Ahad lalu, Ahli Parlimen Pagoh, Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-8 selepas pergolakan politik berlarutan seminggu susulan kejatuhan kerajaan PH selama 21 bulan.

Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agong berdasarkan pertimbangannya boleh melantik perdana menteri dalam kalangan ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti.

Vendargon berkata, Agong tidak boleh dikehendaki menggunakan formula matematik tepat dalam melantik perdana menteri daripada kalangan 222 ahli Parlimen.

“Agong boleh menggunakan budi bicaranya untuk membuat keputusan siapa yang mendapat sokongan majoriti dan tidak bermakna ia perlu 50% atau lebih.”

Beliau berkata, sokongan diraih perdana menteri yang baru dilantik boleh bertambah atau berkurangan dan ujian terakhir terletak di Dewan Rakyat.

Minggu lalu, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram dilaporkan berkata, pelantikan perdana menteri di bawah Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan berdasarkan budi bicara Agong dan ia tidak boleh dicabar di mahkamah.

Gopal Sri Ram

Sri Ram yang kini merupakan pendakwa raya, berkata selepas dilantik, perdana menteri akan membentuk Kabinet untuk meneruskan pentadbirannya.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan tidak memberi kuasa kepada Dewan Rakyat untuk memilih ahlinya sebagai perdana menteri, tetapi ia sekadar meluluskan pelantikan oleh Agong.

“Lebih baik perdana menteri mengadakan sidang Dewan Rakyat secepat mungkin dan menjalankan undi percaya terhadap dirinya. Jika beliau menang, beliau boleh kekal dengan ahli Kabinetnya.”

Perdana menteri perlu mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya 112 ahli Parlimen di Dewan Rakyat untuk kekal mentadbir negara bersama Kabinetnya.

Bagaimanapun, Sri Ram berkata, jika gagal, perdana menteri boleh melaporkan keputusan undian itu kepada Agong.

“Perdana menteri boleh meminta Agong membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum.

“Jika permintaan itu ditolak, beliau perlu meletak jawatan untuk Agong melantik ahli Parlimen lain sebagai perdana menteri.”

Sementara itu, Ahli Parlimen Sembrong dan bekas peguam, Hishammuddin Hussein membidas “pihak luar” yang mendakwa istana merancang “rampasan kuasa diraja”.

“Kedaulatan, keadilan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara amat disanjung tinggi.

“Tiada pihak luar berhak campur tangan. Dirgahayu Tuanku,” tulisnya di Twitter hari ini.