
Beliau berkata projek pertama yang berkonsepkan “Triple Net Zero” itu akan dibina di tapak berkeluasan 1,370m persegi di Jalan C Y Choy milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Projek transit itu dilaksanakan berdasarkan program “Empowering The Streets Citizens” yang dicadangkan pada 2016 oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh, katanya pada majlis pecah tanah projek pusat transit gelandangan itu, hari ini.
Chow berkata berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang, sepanjang 2019 sebanyak 458 operasi pengemis/kutu rayau dijalankan iaitu di Timur Laut melibatkan 152 operasi, Barat Daya (103), Seberang Perai Utara (89), Seberang Perai Tengah (47) dan Seberang Perai Selatan (67).
“Bagi tempoh sama (Januari-Disember 2019), sebanyak 592 pengemis atau pelesir yang terdiri daripada warganegara dan bukan warganegara berjaya diselamatkan,” katanya.

Chow berkata kerajaan negeri berharap projek perintis itu nanti berjaya membendung masalah gelandangan berkeliaran yang sering dikaitkan dengan isu kebersihan, keselamatan dan masalah sosial lain sehingga menjejaskan imej George Town sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara.