6 anggota Kabinet angkat sumpah sebagai senator

6 anggota Kabinet angkat sumpah sebagai senator

Upacara angkat sumpah itu dilakukan di depan Yang Dipertua Dewan Negara, SA Vigneswaran di Bangunan Parlimen.

Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara hari ini susulan pelantikannya sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri semalam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Enam senator baru mengangkat sumpah di Dewan Negara hari ini susulan pengumuman pelantikan mereka sebagai anggota Kabinet semalam.

Upacara angkat sumpah itu dilakukan di depan Yang Dipertua Dewan Negara, SA Vigneswaran di Bangunan Parlimen di sini.

Mereka ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang akan memegang portfolio menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan bekas ketua pegawai eksekutif CIMB Group Holdings Bhd, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang akan menerajui Kementerian Kewangan.

Yang lain ialah Timbalan Presiden MCA, Mah Hang Soon (timbalan menteri pendidikan I) dan Naib Presiden MCA, Lim Ban Hong sebagai timbalan menteri perdagangan antarabangsa, Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional, Ahmad Masrizal Muhammad (timbalan menteri alam sekitar) dan Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa Pemuda PPBM, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (timbalan menteri belia dan sukan).

Mereka dipilih buat kali pertama menerusi lantikan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh 3 tahun ke Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Vigneswaran mengucap tahniah kepada mereka yang mengangkat sumpah hari ini dan berharap mereka memberikan perkhidmatan terbaik demi kepentingan negara.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan barisan Kabinetnya yang merangkumi 31 menteri serta 38 timbalan menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.