Kesian… Kehidupan penduduk Itali selepas perintah berkurung dalam rumah dikuatkuasakan

Sejak Isnin lalu, kerajaan Itali mengumumkan sekatan pergerakan masuk dan keluar (lockdown) dan meminta kira-kira 60 juta penduduknya berkurung dalam rumah ekoran penularan Covid-19.

Dan sejak arahan itu dikeluarkan pergerakan semua rakyat Itali terbatas apabila menyaksikan semua kedai ditutup kecuali farmasi dan kedai makanan bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Arahan ini dikeluarkan selepas negara itu merekodkan 827 kematian dalam tempoh 2 minggu.

Perdana Menteri, Giuseppe Conte berkata, arahan penutupan itu dijangka untuk sekurang-kurangnya 2 minggu.

Selain kedai bar, pusat hiburan, restoran, pendandan rambut dan kantin juga ditutup, namun penghantaran ke rumah masih dibenarkan.

Conte mengumumkan gelombang sekatan terbaharu itu dalam rayuan penuh emosi kepada 60 juta rakyat negara itu.

Sebelum ini, AFP turut merakam gambar petugas sanitasi yang memakai sut perlindungan menyembur pembasmi kuman di Dataran St Mark di Venice.

Premis turut meletakkan nota tulisan tangan memohon maaf kepada pelanggan kerana tidak dapat meneruskan operasi seperti biasa.

Bagaimanapun mereka masih boleh pergi kerja dengan syarat mesti membawa “pengisytiharan diri” yang menyatakan mereka perlu berada di pejabat.

Surat ini boleh diperiksa dan disimpan oleh pihak polis.

Malah sehingga kini pengangkutan awam dan teksi masih lagi berjalan seperti biasa, tetapi sama ada terdapat penumpang atau tidak ia perkara lain.

Keluar daripada rumah dengan tujuan mendapatkan rawatan kesihatan atau membeli bekalan penting juga dibenarkan tetapi ia perlu bersendirian dan bukannya secara berkumpulan.

Namun apa jua yang melibatkan pelancongan seharusnya dielakkan sama sekali.

Selain itu, apa jua aktiviti melibatkan kebudayaan, sukan dan agama dibatalkan.

Manakala sekolah dan universiti ditutup dan pelajar boleh meneruskan pembelajaran mereka pada jarak jauh.

Warga Itali juga diingatkan untuk tidak melakukan pembelian panik kerana kerajaan menegaskan tidak ada kekurangan bekalan penting.

Manakala bagi hubungan kekeluargaan boleh diteruskan tetapi tidak digalakkan untuk berada di sesuatu tempat bagi satu tempoh yang lama.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]