Pasangan mahu kahwin rugi RM100,000 kerana Covid-19

GEORGE TOWN: Majlis perkahwinan menjadi mangsa larangan perhimpunan bagi mengawal wabak Covid-19, dan bakal pengantin mungkin berdepan kerugian ribuan ringgit dalam kos persediaan.

Satu pasangan merancang persandingan besar-besaran dan, menurut pengantin lelaki, mereka mungkin kerugian RM100,000.

Pengurus bank berusia 32 tahun itu, yang hanya mahu dinamakan sebagai Singh, memberitahu FMT rancangannya adalah mengadakan majlis pra-perkahwinan, menikah di sebuah gurdwara dan majlis makan malam pada hujung minggu.

Acara-acara itu sekarang perlu ditangguh bagi tempoh masa yang tidak pasti, tambahnya.

Selain RM100,000 yang dibelanjakannya dan tunangnya, sanak saudaranya juga rugi ribuan ringgit kerana membatalkan penerbangan dan penginapan hotel.

Singh sedang berunding dengan penjual bunga, ahli muzik, penyedia makanan dan vendor lain meminta bayaran balik atau menjadualkan semula perkhidmatan mereka.

“Hotel tempat di mana majlis makan malan diadakan sungguh baik budi menawarkan tarikh lain, tetapi bagi vendor lain, wang sudah dibayar dan saya tidak pasti kalau saya boleh dapat balik sebahagiannya,” katanya.

Sebelum kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan selama 2 minggu, katanya, hotel juga menawarkan pengimbas suhu badan di pintu masuk.

“Hotel juga menawarkan topeng untuk tetamu dan pensanitasi percuma. Kami gembira dengan aturan itu.

“Sekarang dengan adanya kawalan, kami cuba bersikap positif dan tak mahu terlalu memikirkannya.

“Demi keselamatan keluarga dan tetamu, mungkin lebih baik ia ditangguh.”

Beliau berkata bulan madu ke Australia juga ditangguhkan, tetapi Malaysia Airlines menawarkan penjadualan semula secara percuma.