‘Test kit’ Covid-19 oleh MyEG palsu? Ini kata KKM

KKM sahkan ‘test kit’ yang bakal dijualkan MyEG palsu. (Gambar FB KKM)

Baru-baru ini difahamkan MyEG memberitahu menjual kit ujian Covid-19 yang boleh dilakukan di rumah sahaja.

Menurut MyEG, kit ujian Covid-19 ini dibangunkan oleh syarikat diagnostik terkemuka dan telah diluluskan oleh pihak berkuasa kesihatan di China dimana kini ia digunakan secara meluas.

Untuk pengetahuan anda, kit ujian Covid-19 ini dapat mengesan jika anda dijangkiti virus itu dengan hanya mengambil masa dalam 15 minit.

Maklumat ini mendapat perhatian ramai di media sosial sehingga menarik perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengulas mengenainya.

Berdasarkan perkongsian di Facebook, KKM mengesahkan ianya adalah berita palsu.

Tetapi di dalam perkongsian itu, tidak dimaklumkan sama ada kit ujian tersebut sememangnya tidak wujud ataupun palsu semata-mata.

Iklan ini masih terpampang di laman sesawang MyEG. (Gambar portal MyEG)

Berdasarkan respon daripada MyEG, kit ujian ini hanya menunggu kelulusan daripada KKM sebelum ia boleh dijual.

“Ia masih menunggu persijilan daripada Kementerian Kesihatan pada masa ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya kit ujian telah diluluskan oleh pihak berkuasa di China dan juga Eropah.

Syarikat itu berkata kit itu bertujuan sebagai satu pilihan mudah untuk sesiapa sahaja melakukan ujian pengesanan awal Covid-19 di kalangan rakyat Malaysia.

Berdasarkan pemerhatian FMT, meskipun KKM telah memberikan maklum balas mengenai kit ujian ini, namun paparan iklan mengenai kit ujian ini masih lagi berada laman web rasmi MyEG.

Berdasarkan cara penggunaannya yang disertakan dalam laman web MyEG, sama seperti ujian kehamilan atau Aids, anda perlu ambil beberapa titis darah dan letakkan di atas kit tersebut.

Jika selepas 15 minit ada 2 garisan menunjukkan keputusan anda positif Covid-19, dan jika hanya 1 garisan bermakna ujian anda negatif.

Harga untuk kit ujian ini RM99 untuk satu kit dan RM990 untuk satu pek.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]