HSBC, Maybank longgar syarat bayar balik pinjaman susulan krisis Covid-19

HSBC Malaysia dan Maybank menyahut gesaan banyak pihak supaya memberi kelonggaran kepada peminjam berikutan kesukaran yang dihadapi kerana krisis Covid-19.

PETALING JAYA: HSBC Malaysia dan Maybank mengambil langkah meringankan beban kewangan bagi membantu pelanggan mereka yang terkesan oleh pandemik Covid-19 dan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan selama 2 minggu oleh kerajaan bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

Ini berikutan gesaan banyak pihak supaya bank memberi kelonggaran kepada peminjam dalam tempoh yang mencabar kini.

Dalam satu kenyataan, HSBC berkata, ia membenarkan pelanggan memohon moratorium sehingga 6 bulan ke atas pinjaman dan bayaran kad kredit.

“Bank juga boleh menyesuaikan pengaturan jangka pendek sesuai dengan keperluan pelanggan dalam penstrukturan semula pembiayaan mereka, selain tawaran sedia ada yang ditawarkan kepada mereka.”

HSBC berkata, bagi pelanggan perbankan komersial, perniagaan kecil dan sederhana (SME) boleh memohon moratorium ke atas pembayaran balik, sementara kemudahan pinjaman jaminan kerajaan akan terus menyokong mereka yang memerlukannya.

“Pengurus perhubungan perbankan perniagaan HSBC Malaysia sentiasa bersedia untuk membincangkan opsyen yang ada dengan pelanggan.”

Ia berkata, semua permohonan yang dibuat akan dinilai berdasarkan kes demi kes.

“HSBC berdiri teguh bersama-sama Malaysia pada masa senang dan susah selama ini. Kami komited dalam meneruskan sokongan kepada komuniti tempatan sepenuh kemampuan kami,” kata ketua pegawai eksekutif HSBC Malaysia Stuart Milne.

Dalam pada itu Maybank juga mengumumkan moratorium ke atas bayaran balik pinjaman sehingga 6 bulan.

“Ini termasuklah penstrukturan dan penjadualan semula kemudahan pinjaman, sekiranya diperlukan.”

Katanya, pihak yang terkesan oleh keadaan semasa boleh memohon moratorium ke atas pinjaman kereta, perumahan, Amanah Saham Bumiputera, pendidikan dan SME.