Wisma Putra: Singapura sedia kemudahan penginapan sementara kepada pekerja Malaysia

Media sebelum ini melaporkan terdapat rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura terpaksa bermalam di stesen MRT, selepas memutuskan untuk terus berada di sana susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan oleh Putrajaya. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kementerian Luar Negeri dimaklumkan bahawa kerajaan Singapura menyediakan kemudahan sementara di Jurong East Sports Complex, sementara majikan pekerja Malaysia di sana mendapatkan kediaman yang sesuai.

Timbalan Menteri Luar, Kamarudin Jaffar berkata, tinjauan yang dijalankan mendapati terdapat rakyat Malaysia yang mendapat penempatan sementara di Jurong East Sports Complex.

“Saya menggesa rakyat Malaysia di Singapura yang mengadapi masalah penginapan atau sebarang bentuk kerumitan supaya segera menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di republik itu.

“Ia amat penting bagi membolehkan perwakilan kita di sana menghulurkan bantuan konsular sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Today Online melaporkan sesetengah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura terpaksa bermalam di stesen MRT, selepas mereka memutuskan untuk terus berada di sana susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan oleh Putrajaya yang melarang mereka kembali ke republik itu sekiranya pulang ke negara ini untuk tempoh 2 minggu berikut.

Today Online melaporkan kira-kira 20 pekerja Malaysia menjadikan Stesen MRT Kranji sebagai “rumah” mereka kerana tiada tempat tinggal.

Kira-kira 300,000 rakyat Malaysia berulang-alik ke Singapura setiap hari untuk bekerja.

Ramai yang memutuskan untuk terus berada di negara itu susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sejak 18 Mac bagi membendung penularan Covid-19.

Perintah itu antara lain melarang rakyat Malaysia meninggalkan negara sehingga 31 Mac ini dan warganegara yang pulang ke tanah air perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

Kerajaan Singapura sebelum ini mengumumkan insentif S$50 untuk setiap pekerja tiap hari, yang akan dibayar kepada majikan yang mencari penginapan bagi pekerja mereka.

Dalam pada itu Kamarudin berkata, Wisma Putra memandang serius laporan media itu.

Beliau memaklumkan bahawa sejak semalam, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura dengan kerjasama Malaysian Association in Singapore (MASIS) serta pihak berkuasa Singapura sedang giat mengenal pasti rakyat Malaysia yang berada di republik itu dan berdepan masalah tersebut.

“Kementerian Luar Negeri sentiasa memberi keutamaan kepada usaha membantu rakyat Malaysia di luar negara yang berdepan kerumitan, khususnya di negara yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

“Ini termasuk rakyat Malaysia yang menetap serta bekerja di Singapura,” katanya.

Kamarudin berkata, Wisma Putra mengambil maklum bahawa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bermula 18 Mac lalu menyebabkan sebahagian rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura menghadapi kesulitan, seperti tidak dapat berulang-alik dari Johor setiap hari.