‘Dr Dzul’ boleh bantu Putrajaya hadapi wabak Covid-19, kata Kit Siang

Pemimpin DAP Lim Kit Siang berkata, bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad boleh memimpin usaha mengatasi wabak Covid-19.

PETALING JAYA: Bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad boleh membantu Putrajaya menangani wabak Covid-19 sekiranya terdapat permintaan daripada kerajaan Perikatan Nasional, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Lim berkata, beliau percaya Majlis Presiden Pakatan Harapan sedia menimbangkan permintaan ini sebaik mungkin, bagi memastikan Dzulkefly dapat berkhidmat demi negara dalam memimpin usaha mengatasi wabak Covid-19.

“Ini adalah masanya untuk bersikap profesional dan serius bagi menyatu-padukan rakyat Malaysia dalam usaha memerangi wabak Covid-19 ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Lim, pengambilalihan tugas oleh pihak tentera tidak diperlukan dalam usaha rakyat Malaysia mengatasi wabak Covid-19.

Baginya, perkhidmatan tentera dalam aspek perubatan dan kesihatan merupakan satu keperluan, namun bukannya untuk tujuan rondaan.

“Angkatan tentera kita mempunyai pelbagai kebolehan, dengan Kor Perubatan, Kejuruteraan, Unit CBRNe (bahan letupan kimia, biologikal radioaktif, dan nuklear) yang boleh digembleng dalam usaha memerangi wabak ini.

“Perkhidmatan profesional seperti menyediakan katil dan wad tambahan di hospital tentera untuk membantu hospital tempatan, pergerakan untuk membina struktur sementara untuk kegunaan kecemasan dan kerja-kerja pembasmian adalah bertepatan, tetapi tidak ada keperluan untuk tujuan rondaan,” katanya.

Menurut Lim, semua rakyat perlu bersatu dalam mengatasi wabak ini dan seharusnya tidak ada ruang diberikan kepada pemimpin yang mengeluarkan kenyataan dan dijadikan sebagai bahan jenaka.

Lim berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba pada satu sidang media sebelum ini bahawa meminum air suam dapat menghalang seseorang daripada dijangkiti Covid-19.

“Usaha Dr Amalina Bakri yang kini berada di UK membongkar nasihat tidak berasas diberikan menteri kesihatan untuk meminum air suam bagi melawan penularan wabak ini haruslah dipuji.

“Tambahan lagi, mitos ini telahpun dibongkarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO),” katanya.