Tiada kematian, 2 pesakit Covid-19 dirawat di ICU di Perak

KKM mengingatkan orang ramai duduk di rumah, sentiasa menjaga kebersihan diri dan beri kerjasama sepenuhnya kepada petugas kesihatan dan pihak keselamatan.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia berkata 2 pesakit Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh termasuk seorang pakar perubatan kecemasan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seorang lagi pesakit berusia 63 tahun merupakan peserta perhimpunan ijtimak tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling.

“Kedua-dua pesakit kini berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil. Tiada kematian seperti mana yang ditularkan di media sosial,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata setakat semalam, terdapat 45 kes Covid-19 di Perak, termasuk 2 pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan di ICU.

Terdahulu, Noor Hisham berkata 15 petugas kesihatan, termasuk 3 daripada sektor swasta dijangkiti Covid-19.

Beliau berkata, seorang daripada 12 kakitangan kerajaan itu sedang dirawat di ICU dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Pesanan ringkas kami kepada orang ramai pada hari ini: Bantu kami untuk membantu anda. Duduk di rumah,” katanya.