Pulau Pinang: Polis sekat lalu lintas keluar dari pulau

Polis mengadakan sekatan jalan raya di Jambatan Pulau Pinang bagi memeriksa pemandu yang menuju ke tanah besar.

GEORGE TOWN: Polis hari ini berkata, mereka yang berulang-alik keluar dari Pulau Pinang ke tanah besar dibenarkan berbuat demikian hanya jika mereka mempunyai sebab yang sah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata, mereka yang bekerja dalam sektor perlu di Seberang Perai akan dibenarkan menyeberangi Jambatan Pulau Pinang.

Mereka yang tidak mempunyai sebab sah akan diarahkan berpatah balik ke bahagian pulau.

Tindakan polis ini susulan larangan perjalanan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa dari 18 hingga 31 Mac depan.

Soffian berkata, satu sekatan jalan raya diadakan di Jambatan Pulau Pinang bagi memeriksa semua kenderaan.

Pemandu perlu menunjukkan bukti urusan sah di tanah besar.

“Kami tidak membenarkan mereka yang tidak mempunyai sebab sah pergi ke tanah besar hanya untuk tujuan pelancongan atau mengunjungi tempat makan,” katanya.

34 kes Covid-19 dicatatkan di bahagian pulau, dengan 16 kes di tanah besar, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini 50 orang.

Pulau Pinang mencatakan kematian pertama Covid-19 hari ini membabitkan lelaki tempatan berusia 74 tahun daripada kluster Masjid Sri Petaling. Beliau dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang pada 13 Mac.

10 kematian akibat Covid-19 dicatatkan di seluruh negara setakat ini, sementara jumlah jangkitan sebanyak 1,306 kes, termasuk 123 kes terbaru yang direkodkan hari ini.

Seramai 139 pesakit disahkan pulih dan didiscaj sehingga kini.