
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan menjangkakan pengeluaran caruman mulai bulan depan itu yang berjumlah kira-kira RM40 bilion secara keseluruhan.
Beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan dalam usaha memerangi Covid-19 yang setakat ini meragut 11 nyawa dan lebih 1,300 orang dijangkiti virus itu di Malaysia.
Katanya, tambahan RM100 juta lagi untuk KKM melantik 2,000 kakitangan baru secara kontrak, khasnya jururawat.
“Ramai jururawat dan kakitangan hospital yang amat keletihan kerana terpaksa bekerja siang dan malam untuk membuat saringan kes Covid-19 dan merawat mereka yang disahkan positif.
“Saya berharap pengambilan kakitangan baru ini dapat dibuat dengan segera supaya semua hospital mempunyai kakitangan mencukupi untuk menangani penularan Covid-19,” katanya selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di Putrajaya hari ini.
Muhyiddin berkata, kerajaan juga akan menyalurkan RM130 juta kepada setiap negeri untuk membantu perniagaan kecil, penjaja, anggota barisan depan dan pesakit Covid-19.
“Peruntukan sama rata akan diberi kepada setiap negeri, tanpa mengira parti mana yang membentuk kerajaan negeri berkenaan.
“Krisis yang sedang kita hadapi ini memberi kesan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kecenderungan politik.”
Insentif terakhir diumumkan Muhyiddin ialah lanjutan daripada 3 bulan kepada 6 bulan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Beliau berkata, langkah yang berkuat kuasa serta-merta hingga 30 Sept ini akan memanfaatkan kira-kira 1.5 juta peminjam PTPTN membabitkan kutipan sebanyak RM750 juta.
Katanya, kerajaan sedang mengkaji langkah tambahan untuk membantu rakyat dan beliau mungkin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi serta bantuan rakyat lebih komprehensif pada 30 Mac ini.
Muhyiddin berkata, warga asing akan dikenakan bayaran bagi menjalani ujian saringan di hospital kerajaan kerana hanya warganegara Malaysia layak menikmati pengecualian itu.