Kit Siang mahu sidang khas Parlimen lulus pakej rangsangan RM250 bilion

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata, kelulusan Parlimen akan memberikan ‘kredibiliti dan keabsaha’ kepada pakej rangsangan ekonomi kerajaan bernilai RM250 bilion.

PETALING JAYA: Veteran DAP Lim Kit Siang menggesa persidangan khas Parlimen selama 2 hari diadakan bagi meluluskan pakej rangsangan ekonomi kerajaan bernilai RM250 bilion dan membahaskan “penggerakkan semula paling awal enjin ekonomi Malaysia”.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, dalam siaran langsung pengumuman pakej itu semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, “kerajaan ini prihatin nasib rakyat” walaupun ia bukanlah kerajaan yang dipilih dalam pilihan raya umum ke-14 2 tahun lepas.

“Atas sebab ini, Muhyiddin perlu dan wajib diingatkan bahawa Malaysia masih merupakan sebuah negara demokrasi berparlimen dan beliau mesti mengadakan persidangan khas Parlimen selama 2 hari bagi meluluskan pakej rangsangan ekonominya supaya ia memperoleh kredibiliti dak keabsahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perkara lain tidak harus dimasukkan ke dalam persidangan khas itu, sama ada sesi soal-jawab, usul “undi tidak percaya” terhadap perdana menteri, pelantikan speaker baru atau urusan lain, selain perbahasan untuk meluluskan pakej rangsangan ekonomi.

“Perbahasan akan membolehkan ahli Parlimen menyampaikan pandangan rakyat berkait perang melawan musuh halimunan Covid-19 dan 3 krisis berganda membabitkan kesihatan awam, ekonomi dan komunikasi akibat penularan wabak itu,” katanya.

Lim juga berkata, kerajaan mengguna pakai maklumat “yang ketinggalan” apabila Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan satu infografik 24 halaman mengenai “Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020”.

“Infografik itu menunjukkan bahawa di seluruh dunia, pandemik Covid-19 mencatatkan 434,000 kes dengan kira-kira 20,000 kematian, sedangkan pada masa Muhyiddin menyampaikan pengumuman langsungnya, jumlah kes Covid-19 di seluruh dunia telah melepasi angka setengah juta orang, iaitu mencecah 536,639 kes dengan 24,117 kematian.

“Penggunaan unjuran berdasarkan kajian Imperial College London bahawa jika pandemik Covid-19 tidak dikawal, maka akan berlaku 2.2 juta kematian di Amerika Syarikat dan 510,000 di United Kingdom adalah tidak bertanggungjawab dan bersifat menakut-nakutkan.

“Kesemua perkara ini dan juga idea berkait sttategi kesihatan awam yang lebih berkesan bagi mengawal wabak Covid-10 di Malaysia dan penggerakaan semula paling awal enjin ekonomi negara ini hendaklah dibahaskan dalam sidang khas Parlimen yang mesti diadakan dalam tempoh 1 atau 2 minggu ini,” katanya.