Kes jenayah di KL turun 57% sepanjang fasa 1 PKP

Polis dan ATM ditugaskan untuk mengadakan sekatan jalan sepanjang PKP.

PETALING JAYA: Kadar jenayah di Kuala Lumpur mencatatkan penurunan lebih 50% ketika tempoh fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam mendepani wabak Covid-19.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata antara faktor yang menyumbang kepada penurunan jenayah di Kuala Lumpur adalah peningkatan sekatan jalan raya dan rondaan dilakukan pihak polis.

“Secara keseluruhannya, statistik jenayah indeks bagi tempoh 1 Jan 2020 hingga 31 Mac 2020 jelas menunjukkan kadar jenayah indeks di kontinjen Kuala Lumpur sebanyak 2,409 adalah kurang dari nilai ambang yang ditetapkan iaitu 2,808 atau menurun sebanyak 14.2%.

Manakala, jenayah kekerasan mencatatkan penurunan sebanyak 18.1% dan jenayah harta benda menunjukkan penurunan sebanyak 12.8%.

“Sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP fasa pertama pada 18 hingga 31 Mac 2020, statistik jenayah indeks menunjukkan kadar jenayah indeks di kontinjen Kuala Lumpur sebanyak 184 adalah kurang dari nilai ambang yang ditetapkan iaitu 432 atau menurun sebanyak 57.4%.

“Jenayah kekerasan mencatatkan penurunan sebanyak 62.8% dan jenayah harta benda pula menunjukkan penurunan sebanyak 55.5%.

“Penurunan kadar jenayah ini adalah disebabkan pihak Polis meningkatkan jumlah sekatan jalan raya, rondaan MPV/URB, elemen-elemen balai polis dan mewujudkan team pemantau yang berperanan untuk menguatkuasakan perlaksanaan PKP sekaligus mencegah jenayah daripada berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Mazlan turut memaklumkan, sepanjang PKP fasa pertama, pihaknya membuka 105 kertas siasatan dibuka.

“Jumlah tangkapan adalah seramai 194 orang yang terdiri daripada 127 orang warganegara Malaysia dan 67 orang warga asing berusia dalam lingkungan 16 hingga 86 tahun.

“Tangkapan terhadap individu-individu ini dilakukan kerana didapati mengingkari PKP iaitu tidak mengendahkan amaran dan nasihat yang diberikan oleh polis, tidak memberikan kerjasama dan tidak mematuhi arahan polis serta memberikan alasan yang tidak munasabah,” katanya.

Daripada jumlah itu, 64 dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 22(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988, Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Katanya, bagi PKP fasa ke-2 bermula hari ini sehingga 14 April, seramai 4,368 petugas terlibat membabitkan polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Rela.