Majlis Peguam gesa pihak berkuasa kurangkan tangkapan PKP

Majlis Peguam berkata, polis perlu mengambil tindakan tangkap hanya ke atas individu yang menunjukkan sikap melawan setelah diberi peringatan supaya berada di dalam rumah sepanjang tempoh pelaksanaan PKP..

GEORGE TOWN: Majlis Peguam hari ini menggesa polis dan pegawai penguat kuasa mengendurkan tangkapan ke atas individu yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan berkata, lebih baik mereka yang terbabit diberi amaran, bukannya terus digari.

Presidennya Salim Bashir berkata, tindakan penangkapan yang dilakukan sekarang yang hampir mencecah angka 5,000 orang di seluruh negara kelihatan bercanggah dengan undang-undang PKP apabila orang kena tahan ditempatkan dalam lokap sempit, sekali gus mempertingkat kemungkinan jangkitan Covid-19.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata, walaupun majlis itu bersetuju dengan tindakan tegas yang diambil bagi mendatarkan keluk jangkitan, namun polis perlu mengambil tindakan tangkap hanya ke atas individu yang menunjukkan sikap melawan setelah diberi peringatan supaya berada di dalam rumah.

“Polis dan agensi penguat kuasa perlu berhemah dan tidak tergesa-gesa membuat tangkapan dan setelah itu mendakwa individu yang dianggap bersalah. Pegawai harus bersikap adil dengan terlebih dahulu menilai keadaan sebelum membuat tangkapan.

“Majlis Peguam percaya teguran keras dan amaran tegas sudah memadai pada masa ini, melainkan jika keadaan dihadapi benar-benar mewajarkan tangkapan,” katanya.

Dalam pada itu, Salim juga menggesa mahkamah menunjukkan budi bicara kehakiman dalam kes PKP, dengan mengambil kira tekanan kewangan dan emosi yang dialami orang ramai dalam mendepani PKP.

“Mahkamnah digesa mengenakan hukuman paling wajar dan ringan ke atas individu yang melanggar PKP atau undang-undang lain dengan memberi pertimbangan kepada faktor peringanan membabitkan keadaan sekeliling.

“Majlis percaya hukuman lebih ringan, seperti denda yang munasabah, tanpa hukuman tahanan, akan mengelakkan individu terbabit daripada dibawa ke penjara yang boleh menghalang mereka daripada menjangkjiti atau dijangkiti oleh tahanan lain,” katanya.

Salim berkata, pihak berkuasa perlu mensanitasi lokap dan menyediakan sel tahanan berasingan untuk tujuan penjarakan sosial, selain memberikan topeng kepada tahanan.

“Penangkapan menyebabkan individu terbabit dihimpunkan bersama-sama. Ironinya ini bercanggah dengan gesaan pihak berkuasa kesihatan supaya langkah pencegahan diambil bagi menghalang penularan wabak tersebut.

“Walaupun kita bersetuju dan menyokong langkah tegas kerajaan bagi menyekat penularan wabak ini, namun kita juga perlu menyedari keadaan semasa yang kita hadapi, justeru menunjukkan sikap waras dalam semua tindakan.”

Peguam kanan Bala Mahesan berkata, peningkatan kes tangkapan kini menyebabkan polis dan badan kehakiman tertekan, sedangkan kesalahan PKP sepatutnya dilihat sebagai kesalahan misdemeanur sahaja.

Beliau berkata, pesalah PKP sepatutnya diberikan kaunseling, bukannya ditangkap yang hanya akan mencetuskan tekanan mental, terutamanya ke atas pesalah kali pertama.

“Polis perlu mengambil pendekatan berbeza, bukannya mengangkap dan mendakwa mereka di mahkamah. Saya fikir pendakwa raya seolah-olah mahu mengenakan hukuman keras dengan meminta semua tertuduh dipenjara.

“Kesan hukuman yang dijatuhkan akan menjadikan satu kelompok dalam masyarakat kita mempunyai rekod sabitan pada diri masing-masing. Ini bukan penyelesaiannya, justeru saya menggesa mahkamah supaya bersikap lunak dalam melaksanakan undang-undang. Hukuman penjara tidak akan menyelesaikan masalah.”

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob, dalam menjalankan peranannya sebagai menteri kanan sektor keselamatan hari ini memaklumkan bahawa sejumlah 4,189 individu ditahan sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac lepas.

Beliau berkata, daripada jumlah itu 1,449 orang telah didakwa, dengan sebilangan mereka dituduh menghalang pegawai penguat kuasa menjalankan tugas.