Hati-hati… Ingkar arahan PKP mungkin punca golongan belia dijangkiti Covid-19

Hati-hati… Ingkar arahan PKP mungkin punca golongan belia dijangkiti Covid-19

Kumpulan berusia antara 26 hingga 30 tahun mudah dijangkiti Covid-19, bagaimanapun mereka sepatutnya tidak bermasalah dari segi imuniti.

Gara-gara langgar PKP kira-kira 70 orang di Butterworth didakwa semuanya dalam lingkungan 26-35 tahun.

Ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkemungkinan antara punca kes positif Covid-19 bagi golongan belia berusia 26 tahun hingga 30 tahun tinggi.

Menurut pakar perunding penyakit berjangkit, Dr Christopher Lee gambaran yang jelas berkaitan kes itu dapat diperoleh jika pecahan kes tahanan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) akibat daripada ingkar arahan PKP dibentangkan kepada pasukan perubatan.

“Kumpulan ini (berusia antara 26 hingga 30 tahun) juga mudah dijangkiti virus ini, sama seperti kumpulan usia lain. Bagaimanapun, mereka sepatutnya tidak bermasalah dari segi imuniti.

“Berkemungkinan juga mereka dijangkiti ekoran aktiviti atau tingkah laku masing-masing,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Semakan Kematian Covid-19 Kebangsaan memetik laporan media.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan yang dikeluarkan, terdapat 2 kumpulan golongan usia mempunyai bilangan paling tinggi kes positif Covid-19 iaitu usia lingkungan 26 hingga 30 tahun dan 56 hingga 60 tahun.

Bagi golongan belia mereka dikatakan dijangkiti ketika keluar daripada rumah dan bergaul dengan orang ramai sepanjang tempoh PKP.

Manakala golongan warga emas dipercayai dijangkiti kerana tugas mereka sebagai ketua keluarga dimana mereka sahaja yang dibenarkan keluar rumah untuk membeli barang keperluan dan ketika itulah mereka dijangkiti.

Dr Christopher yang juga merupakan bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) turut menolak dakwaan hanya individu berusia atau warga emas berpotensi dijangkiti Covid-19.

Bagaimanapun, risiko berjangkit rendah jika semua menjaga jarak sosial satu sama lain.

Polis mengawal pergerakan mereka yang keluar rumah untuk membeli barang keperluan.

“Mana-mana individu berpotensi dijangkiti Covid-19, bergantung kepada kemungkinan penularan virus ini.

“Ia (jangkitan) tiada kaitan dengan usia sebaliknya bergantung kepada aktiviti, tingkah laku dan amalan masing-masing. Bagaimanapun, golongan berusia berdepan penyakit atau komplikasi akut,” katanya.

Mengulas mengenai kadar untuk sembuh bagi pesakit golongan muda, beliau berkata, kumpulan berkenaan kebiasaannya boleh sembuh sepenuhnya kerana kebiasaannya mereka hanya mengalami simptom sederhana.

“Bagaimanapun, kita tak menolak kemungkinan boleh berlaku kematian dalam kalangan pesakit muda memandangkan sebelum ini kes kematian termuda direkod membabitkan individu berusia 27 tahun.

“Walaupun kebiasaannya kes kematian Covid-19 membabitkan individu berusia lebih 65 tahun tetapi tidak semestinya pesakit muda tidak berdepan risiko sama cuma ia tidak kerap berlaku bagi kelompok umur berkenaan,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.