Pakej Prihatin akan sumbang 2.8% kepada KDNK, kata Tengku Zafrul

Pakej Prihatin akan sumbang 2.8% kepada KDNK, kata Tengku Zafrul

Menurut Tengku Zafrul pakej rangsangan ekonomi dirangka untuk membantu rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kemampuan negara untuk memulihkan ekonomi bergantung kepada sebaik dan secepat mana krisis wabak Covid-19 berjaya diatasi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dijangka menyumbang kira-kira 2.8% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.

Beliau berkata, pakej rangsangan kedua itu dirangka untuk menghindari kesan wabak Covid-19 ke atas negara dengan melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi.

Katanya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan langkah sokongan baru kepada SME dan perniagaan mikro negara minggu depan berikutan maklum balas dan perbincangan dengan sektor tersebut.

Tengku Zafrul berkata, kemampuan negara untuk memulihkan ekonomi bergantung kepada sebaik dan secepat mana krisis wabak Covid-19 berjaya diatasi dengan menegaskan bahawa “semua rakyat Malaysia mesti memainkan peranan masing-masing”.

Katanya, Malaysia perlu bersedia untuk berdepan keadaan luar jangka kerana risiko buruk sentiasa ada walapun ekonomi negara dijangka melonjak pada 2021 dan pemulihan mula berlaku pada akhir 2020.

“Bagaimanapun kita mempunyai kemampuan dan ruang fiskal untuk menghadapi ketidaktentuan masa depan, selain kerajaan amat menyedari tentang keperluan untuk sentiasa bersiap siaga dan bertindak pantas.

“Bagi memandu kita keluar daripada suasana mencabar ini, Bank Negara Malaysia akan memastikan sistem kewangan terus stabil dengan tahap kecairan tinggi serta penampan yang kukuh.

“Pada masa ini, sistem kewangan kita memiliki lebihan modal penampan sebanyak RM121 bilion, berbanding RM39 bilion semasa krisis kewangan dunia pada 2008,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu lepas Muhyiddin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion, iaitu lebih 10 kali ganda jumlah yang diperuntukan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebulan sebelum itu.

Ia terdiri daripada peruntukan sebanyak RM128 bilion untuk kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk sektor perniagaan dan SME, RM2 bilion untuk pengukuhan ekonomi, selain RM20 bilion yang diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.