
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, ini adalah langkah terbaik bagi menyedarkan masyarakat supaya membantu memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.
“Kita sudah bersedia untuk melaksanakan dasar ini dan sekarang menunggu keputusan rasmi berkaitan perintah tersebut.
“Bagaimanapun, terpulang kepada polis sama ada mahu membuka kertas siasatan atau mengeluarkan kompaun kepada mereka yang melanggar apa jua kesalahan sepanjang PKP ini,” katanya dalam satu wawancara khas di Bukit Aman di sini, hari ini.
Huzir berkata, pihaknya akan menilai berdasarkan kesalahan yang dilakukan sebelum menentukan sama ada pesalah akan diambil kompaun atau dihadapkan ke mahkamah.
Sementara itu Huzir turut menafikan, dakwaan tindakan kompaun serta merta di lokasi sekatan jalan raya Op Covid-19, akan dikenakan.
“Kompaun serta merta adalah tidak benar. Jika tindakan kompaun dilaksanakan, kita akan membawa individu yang melanggar PKP ke balai polis terlebih dahulu, sebelum kompaun dikeluarkan,” katanya.
Sepanjang tempoh pelaksanaan PKP bermula 18 Mac sehingga semalam, seramai 5,126 ditahan kerana melanggar perintah itu.
Daripada jumlah itu, 2,294 individu telah didakwa di mahkamah.