Kedutaan asing tunggu untuk bantu rakyat terbabit PKPD di Kuala Lumpur

Anggota tentera berkawal di hadapan bangunan Selangor Mansion di Jalan Masjid India di Kuala Lumpur.

PETALING JAYA: Pesuruhjaya Tinggi India kini berbincang dengan Putrajaya tentang bagaimana ia boleh membantu rakyatnya yang kini terkurung di 2 bangunan di Kuala Lumpur yang ditempatkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) awal minggu ini.

Seorang pegawai yang enggan dinamakan berkata, pihaknya tidak tahu berhubung bilangan rakyat India yang berada di bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion yang terletak di Jalan Masjid India itu.

Beliau memberitahu FMT bahawa mereka menunggu angka rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bagaimanapun keutamaan kami ialah menyediakan bekalan makanan dan perubatan semasa tempoh sekatan keluar masuk ini,” katanya.

Beliau berkata, bantuan lain kepada warga India yang terperangkap di situ akan diberikan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, KKM dan mana-mana pemegang taruh lain.

Terdahulu hari ini, Menteri Pertahanan Islami Sabri Yaakob berkata, majoriti penghuni 2 bangunan itu merupakan warga asing.

Justeru katanya, kedutaan asing berkaitan adalah bertanggungjawab ke atas keperluan harian mereka.

Bagaimanapun katanya, kumpulan terbabit boleh meminta bantuan daripada pusat operasi di situ untuk membeli makanan.

Jurucakap kedutaan Indonesia itu juga berkata, ia juga menunggu maklumat lanjut daripada Putrajaya mengenai rakyatnya yang mungkin berada di bangunan terbabit.

Beliau berkata, keutamaan kedutaan ialah memenuhi keperluan warganya.

“Tetapi kita ada bajet untuk mereka,” katanya.

Penghuni Selangor Mansion dan Malayan Mansion dilarang keluar rumah masing-masing sehingga mereka menjalani saringan Covid-19.

Dua bangunan itu diletakkan di bawah PKPD selepas 15 kes positif virus tersebut direkodkan di situ.