PKP dilanjut sehingga 28 April

PUTRAJAYA: Kerajaaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan untuk 14 hari lagi mulai 15 Apr hingga 28 Apr, meneruskan usaha memerangi Covid-19 sehingga diatasi 100%, selepas negara melalui 2 fasa tempoh sekatan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kawalan sejak 18 Mac lepas menunjukkan kesan positif dalam mengawal penyebaran koronavirus, namun diteruskan ke fasa ke-3 atas nasihat Kementerian Kesihatan dan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi mengelakkan penularan semula wabak, seperti yang berlaku di beberapa negara lain.

“Pelanjutan tempoh ini dibuat untuk memberi ruang kepada petugas kesihatan memerangi penularan Covid-19, selain mengelakkan penularan semula wabak ini dalam masyarakat,” katanya dalam perutusan khas petang ini.

“Kita mesti bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini bagi satu tempoh masa yang agak lebih lama. Ianya mungkin berlarutan untuk tempoh beberapa bulan, sebelum kita dapat betul-betul pastikan penularan wabak ini diatasi 100%.”

Perdana menteri dalam laporannya kepada rakyat memaklumkan, selepas fasa pertama PKP pada 18 Mac hingga 31 Mac dan fasa ke-2 pada 1 April hingga kini, kes positif Covid-19 terkawal pada kadar 7%, lebih rendah daripada tanda aras 10% yang ditetapkan WHO.

Kadar kematian akibat wabak ini juga rendah, iaitu 1.6% berbanding 5.8% kadar kematian di peringkat dunia, tambahnya.

“Setakat ini seramai 1,830 orang pesakit keluar dari hospital. Ini bermakna 43% pesakit Covid-19 pulih. Hari ini sahaja jumlah pesakit yang pulih seramai 220 orang, melebihi jumlah kes positif baru iaitu 118 kes.” katanya.

Jumlah kes jangkit baru juga menunjukkan penurunan sejak beberapa hari lalu, tambahnya.

“Namun kita jangan mengambil mudah, penularan wabak ini masih di peringkat pertengahan dan memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan yang berterusan,” katanya.

Belajar ‘online’

Perdana menteri berkata beliau faham akan kebimbangan ibu bapa mengenai keselamatan dan pendidikan anak-anak dan cucu-cucu, dan dengan itu mengarahkan Kementerian Pendidikan supaya melaksanakan inisiatif pembelajaran dari rumah (home-based learning) sepanjang tempoh kawalan sehingga sekolah dibuka.

Tegasnya, sesi persekolahan akan ditangguhkan sehingga “kita benar-benar yakin keadaan kembali pulih,” katanya.

Mengenai ibadah sempena Ramadhan tidak lama lagi, perdana menteri meminta umat Islam menghadapi kenyataan yang sukar dibayangkan.

“Kita tidak boleh ke bazar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka puasa, tidak boleh ke masjid untuk berterawih. Jadi berterawih lah di rumah bersama keluarga. Mungkin juga kita tidak boleh balik ke kampung seperti biasa,” katanya.

Perdana menteri mengingatkan kehidupan mungkin tidak boleh kembali seperti sediakala selagi virus ini masih ada.

“Amalan penjarakan sosial mesti diteruskan. Kita mesti sentiasa menjaga kebersihan diri. Elakkan sebarang perhimpunan. Hindari tempat yang sesak,” katanya.