Lebih 14,000 langgar PKP fasa 1 dan 2

Lebih 14,000 langgar PKP fasa 1 dan 2

Terdapat peningkatan pada fasa 2 sehingga membawa kepada 11,295 tangkapan berbanding fasa 1 yang merekodkan 3,627 tangkapan.

Sehingga hari ini seramai 5,930 pesalah sudah dituduh di mahkamah seluruh negara atas kesalahan melanggar PKP.
KUALA LUMPUR:
Lebih 14,000 individu melakukan kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak ia dilaksanakan pada 18 Mac hingga 14 April bagi fasa 1 dan 2.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, terdapat peningkatan pada fasa 2 sehingga membawa kepada 11,295 tangkapan berbanding fasa 1 yang merekodkan 3,627 tangkapan.

Katanya, peningkatan itu adalah disebabkan tindakan individu yang mengingkari arahan PKP untuk duduk di rumah.

“14,922 pesalah atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh PKP 1 dan 2. Daripada jumlah itu, seramai 3,627 orang ditahan fasa 1 dan 1,295 ditahan melanggar PKP fasa 2.

“Ada antara individu yang ditahan ini dikesan melalui sekatan jalan raya sehingga 3 hingga 4 kali dengan alasan membeli barang keperluan.

“Malah ada juga individu ini tidak dapat memberikan sebarang alasan ketika ditanya tujuan mereka keluar dari rumah,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

Huzir berkata, selaras dengan kenyataan Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri, polis akan terus menahan mana-mana individu yang dikesan melanggar arahan PKP bermula, hari ini.

“Kita akan menangkap individu terbabit dan membawanya ke balai untuk membuka kertas siasatan atas kesalahan melanggar PKP sebelum mendakwanya di mahkamah.

“Pihak polis akan melengkapkan kertas siasatan sebelum menyerahkannya kepada Pejabat Peguam Negara untuk tuduhan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga hari ini seramai 5,930 pesalah sudah dituduh di mahkamah seluruh negara atas kesalahan melanggar PKP.

Katanya, pihak polis tidak akan lagi berkompromi dengan sebarang alasan tidak munasabah pada PKP fasa 3.

“Tiada lagi kompaun, terus tuduh di mahkamah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.