3 didenda RM1,000, penjara 3 hari bermain golf ketika PKP

Low Teck San (kiri), Tan Chee Kean (3 dari kanan) dan Wong Yat Hoe dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Gajah hari ini. (Gambar Bernama)

BATU GAJAH: Tiga lelaki yang ditahan kerana bermain golf ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dijatuhkan hukuman penjara 3 hari dan denda RM1,000 setiap seorang, selepas mengaku bersalah melanggar sekatan itu.

Majistret Nazratul Natrah Mohd Yusof berkata, ketiga-tiga tertuduh, sebagai golongan berpendidikan, patut menjadi contoh kepada individu lain dalam mematuhi undang-undang dan duduk di rumah.

Bagaimanapun, beliau mengarahkan beg golf mereka dipulangkan.

Pengurus kelab Golf, Low Teck San, 68, bersama pengurus syarikat pengangkutan, Tan Chee Kean, 59, dan guru tuisyen, Eugene Wong Yat Hoe, 37, didakwa berkumpul di Kelab Golf Resort Clearwater Sanctuary di sini, semalam untuk bermain golf.

Mereka didakwa di bawah Peraturan 6(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) yang membawa hukuman denda sehingga RM1,000, penjara maksimum 6 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam K Parveen Sharma yang mewakili tertuduh meminta denda pada kadar minimum kerana mereka sudah kesal dengan perbuatan itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fairoz Abd Mutalib meminta hukuman berat termasuk penjara dijatuhkan sebagai pengajaran kerana PKP sudah memasuki fasa ke-3.

“Denda tidak mencukupi untuk kesalahan sedemikian ketika ini.”

Parveen berkata, 3 tertuduh membayar denda itu dan dijangka dibebaskan dari penjara hari ini.