Lelaki Myanmar dipenjara 2 bulan curi 45 guni bawang ketika mabuk

Tertuduh, Ali Kasin berkata, dia menjual 39 daripada 45 guni bawang yang dicurinya pada harga RM15 seguni.

KUALA LUMPUR: “Ambil bawang banyak-banyak nak buat kenduri ke?” soal seorang majistret sebelum menjatuhkan hukuman penjara 2 bulan dan denda RM3,600 ke atas seorang warga Myanmar yang mengaku bersalah memecah masuk sebuah pasar raya 2 minggu lepas.

“Kamu ambil 45 guni bawang, tetapi polis hanya jumpa 6 guni bawang, jadi mana bawang selebihnya?” soal Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali yang turut bertanyakan mengapa tertuduh mencuri begitu banyak bawang.

Tertuduh, Ali Kasin, 27, yang tidak bekerja memberitahu mahkamah, ketika kejadian dia dalam keadaan mabuk dan menjual 39 guni bawang pada harga RM15 seguni.

Disoal majistret bagaimana tertuduh membawa 45 guni bawang dengan satu troli, lelaki itu menjawab: “Tiga kali saya tolak troli untuk ambil bawang”.

Fardiana Haryanti turut menasihati tertuduh tidak melakukan kesalahan sama walaupun dalam keadaan mabuk.

“Ini kali pertama saya tengok orang curi bawang dalam kuantiti banyak, ‘legend’ betul ni curi bawang…mabuk macam mana pun, saya harap kamu cuba kawal dan jangan pecah masuk rumah atau premis orang.”

Beberapa orang awam yang berada di dalam mahkamah berkata: “Bawang mahal sekarang ini”.

Mahkamah memerintahkan tertuduh, yang tidak diwakili peguam, dipenjara dari tarikh dia ditangkap pada 14 April lalu dan dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Ali didakwa memecah masuk ke pasar raya di Jalan 6/3A, Pusat Bandar Utara, Sentul di sini, pada 1.05 pagi 11 April lalu, mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Illya Syaheedah Mohd Razif memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.i.