Kami dijaga dengan baik, kata pelajar UiTM terkandas di kampus

Pelajar UiTM berjumpa rakan yang turut terkandas di dalam kampus dengan mengamalkan penjarakan sosial.

PETALING JAYA: Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang terpaksa tinggal di kampus lebih sebulan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu berpuas hati dengan sokongan dan layanan cukup baik pihak pengurusan institusi pengajian tinggi awam itu.

Beberapa pelajar UiTM yang ditemui FMT berkata, walaupun sedih tidak dapat pulang ke kampung halaman, tetapi pada masa sama mereka gembira kerana dapat mengenali rakan dengan lebih dekat.

Amir Hakim (kiri) mendengar petikan gitar rakannya Faizal Hapipi.

Pelajar semester ke-5 dalam jurusan Sains Sukan, Syazana Zainal Abidin, 23, berkata beliau memutuskan tidak pulang ke kampung demi faktor keselamatan bagi mengelakkan terdedah kepada virus Covid-19.

Katanya, beliau berasa lebih selamat dan terjamin ketika berada di kampus.

“Ketika kerajaan umum PKP, ramai pelajar berpusu-pusu mahu balik, ada lebih kurang 40,000 orang.

Syazana Zainal Abidin.

“Saya rasa bahaya ketika itu dan ambil keputusan kekal di kampus,” katanya kepada FMT.

Kerajaan mula melaksanakan PKP pada 18 Mac lalu dan sekatan itu yang kini dalam fasa ke-3 dilanjutkan sehingga 12 Mei ini.

Pada 24 April lalu, kerajaan memberi kelonggaran kepada pelajar yang terperangkap di kampus sejak PKP berkuat kuasa 18 Mac lalu untuk pulang ke kampung halaman secara berperingkat mulai hari ini.

Menteri Kanan untuk Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, pelajar hanya dibenarkan pulang ke kampung halaman yang terletak di bawah zon hijau dan waktu perjalanan yang dibenarkan ialah dari 9 malam hingga 9 pagi bagi memastikan perjalanan terkawal.

Katanya, 53,000 pelajar atau 85% pelajar IPT akan terbabit dalam inisiatif itu dan selebihnya memilih untuk kekal di kampus.

Dijaga dengan baik

Syazana berkata, UiTM menyediakan makanan sebanyak 3 kali sehari, iaitu makan pagi, tengah hari dan malam, manakala sempena bulan Ramadan, pelajar Islam diberikan makanan untuk berbuka puasa dan bersahur.

“Alhamdulillah UiTM jaga kami dengan baik dari segi makanan dan bantuan keperluan harian semua.

“Bagi bukan Islam, makanan juga disediakan waktu tengah hari dan malam,” katanya yang juga Yang di-Pertua Pelajar Kolej Mawar.

Beliau yang berasal dari Batu Pahat, Johor berkata emosi pelajar rata-ratanya masih terkawal dan lebih gembira selepas kerajaan membenarkan mereka pulang ke kampung.

Katanya, beliau akan menghubungi ibu bapanya di kampung menggunakan media sosial dan aplikasi seperti WhatsApp.

“Kalau pelajar rasa emosi terganggu, mereka akan pergi ke pusat kaunselor dan pegawai UiTM akan menenangkan pelajar tersebut.”

Syazana berkata, pihak pengurusan UiTM turut menyediakan pelbagai aktiviti sepanjang PKP, termasuk mencipta lagu, membuat poster, syair dan beriadah di dalam kampus dengan mengamalkan penjarakan sosial.

“Ini sedikit sebanyak dapat mengisi masa lapang pelajar dengan aktiviti bermanfaat dan mengurangkan tekanan emosi pelajar.”

Pelajar semester 1 jurusan Bahasa Inggeris Komunikasi Profesional, Ieva Christa Anak Jimmy, 22, berkata beliau tidak dapat pulang ke kampung halaman di Sarawak kerana sekatan penerbangan luar negeri ke sana sebelum PKP dilaksanakan.

Ieva Christa Anak Jimmy.

Disebabkan faktor itu dan atas nasihat ibu bapanya, beliau mengambil keputusan terus tinggal di kampus.

Beliau yang pertama kali ke Semenanjung Malaysia, tidak menjangkakan diri akan terperangkap di dalam kampus untuk tempoh lama.

“Rasa terkejut dan sedih. Tiba-tiba masuk universiti berdepan Covid-19.

“Tetapi, setelah fikir keselamatan dan risiko balik kampung akan mengancam kesihatan keluarga, saya ambil keputusan untuk tinggal di kampus.”

Katanya, beliau tidak bosan berada di kampus sepanjang PKP kerana kuliah berjalan seperti biasa melalui e-learning, manakala di luar waktu pembelajaran, beliau akan berinteraksi dan meluahkan perasaan dengan rakan sebilik.

“Memandangkan pergerakan terbatas, nak keluar tak boleh, jadi banyak habiskan masa di kawasan terdekat kolej,” katanya sambil menambah beliau banyak menghabiskan masa dengan belajar di dalam bilik.

“Seperti jalan sekitar kolej dan membuat aktiviti senaman ringan dengan mengamalkan penjarakan sosial bersama rakan sebilik.”

Pelajar semester 1 jurusan pengurusan perindustrian halal, Amir Hakim, 20, pada awalnya sedih kerana terpaksa tinggal di kampus.

Amir Hakim.

“Tetapi, lama-kelamaan perasaan sedih hilang apabila ada bersama rakan-rakan. Jika bosan, kita ada aktiviti seperti e-sukan atau mengemas bilik.”

Katanya, UiTM turut menyediakan hidangan sedap dengan kadangkala mereka dapat menikmati makanan barat seperti “chicken chop”.

Beliau berkata, banyak platform atas talian digunakan untuk sesi pembelajaran ketika PKP.

“Tiada masalah, kemudahan internet di UiTM juga sangat bagus.

“Namun jika dibenarkan balik, sudah tentu saya akan balik, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan dan untuk menyambut hari raya bersama keluarga.”