Pemotong rumput Rohingya dipaksa buktikan keislaman ketika xenofobia melarat

Tangkap layar video FB memaparkan pemotong rumput Rohingya itu dipaksa menjawab pertanyaan seorang lelaki tempatan.

PETALING JAYA: Seorang lelaki Rohingya diganggu lelaki tempatan yang berulang kali menuntut dia membuktikan dirinya seorang Islam, contoh serangan xenofobia terhadap golongan minoriti yang melimpah keluar ke alam nyata dari dalam talian.

Satu video yang dimuat naik pengguna Facebook, Mohd Zakki juga memaparkan lelaki Rohingya terbabit, seorang pemotong rumput menuju ke tempat kerja, dimarahi lelaki tempatan itu kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Nampak ni kurang ajar ni,” lelaki itu didengari berkata sambil menghalakan kamera ke alat pemotong rumput etnik Rohingya tersebut.

“Kita rakyat Malaysia duduk rumah – PKP – dia lagi merayau sana merayau sini,” katanya.

Dia kemudian menunjukkan kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) milik lelaki Rohingya itu.

“Dia ingat dia punya ni besar? Minta maaf,” katanya.

Video itu muncul di sebalik peningkatan komen xenofobik yang mensasarkan Rohingya sejak beberapa minggu kebelakangan ini, ketika pemimpin agama dan aktivis hak asasi merayu semua pihak bertenang.

Gelombang xenofobia itu antaranya disebabkan berita palsu mendakwa pelarian Rohingya menuntut kerakyatan. Ia menyusuli tindakan kontroversi pihak berkuasa mengusir bot membawa ratusan Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar.

Dianggarkan kira-kira 200,000 pelarian Rohingya di Malaysia. Kerajaan menerima mereka atas dasar kemanusiaan, tetapi enggan mengiktiraf mereka sebagai pelarian, memaksa kebanyakan mereka bekerja secara haram dan mengemis.

Dalam video 4 minit yang dimuatnaik di Facebook awal hari ini, lelaki Rohingya itu ditengking kerana tidak faham permintaan untuk mengucap syahadah bagi membuktikan keislamannya.

“Kalau ‘you’ Islam ‘you’ mengucap dua kalimah syahadah, ‘you’ mengucap sekarang,” kata lelaki itu ketika Rohingya terbabit bergelut untuk memahami permintaannya.

“Saya Melayu tak faham,” jawab pelarian itu dalam bahasa Melayu yang tidak baik.

Lelaki itu kemudian meneruskan pertanyaannya, bertanya adakah pelarian itu menunaikan solat 5 waktu setiap hari dan meminta menamakan waktu solat berkenaan.

Selepas bersusah payah untuk memahami soalan, pelarian itu dapat menamakan kelima-lima waktu solat. Dia juga kemudian mengucap kalimah syahadah, diselangi ayat dalam bahasa Rohingya.

Lelaki tempatan itu bagaimanapun masih tidak berpuas hati, dan bertanyakan kepadanya bilangan rakaat.

Dia juga mahu Rohingya itu membacakan Al-Fatihah.

FMT tidak dapat mengesahkan identiti lelaki tempatan tersebut, yang dipercayai merakam sendiri video itu.

Tindakan lelaki itu dikritik pengguna Facebook, yang kebanyakannya mengatakan ia tidak Islamik.

Namun ada juga komen menyerang Rohingya itu.

“Kasi terajang je tengok macam mana, kasi bakar dye motor baru tau,” kata Reduan Ibrahim.

FMT sedang mendapatkan reaksi daripada wakil UNHCR di Malaysia.