Ibu tunggal langgar PKP didenda RM1,000 ganti penjara 30 hari

Ibu tunggal B Lisa Christina diiringi polis keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas prosiding kesnya selesai hari ini.

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menggantikan hukuman penjara dengan denda ke atas seorang ibu tunggal yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pesuruhjaya Kehakiman, Norsharidah Awang mengenakan denda maksimum RM1,000 terhadap B Lisa Christina, yang hadir di mahkamah untuk semakan hukuman penjara 30 hari yang dijatuhkan majistret pada 21 April lalu.

“Saya telah mengambil kira anda ialah pesalah kali pertama dan anda dipenjarakan selama 8 hari.

“Tetapi, saya tidak akan teragak-agak menjatuhkan hukuman lebih berat jika anda ditahan melanggar PKP semula. Saya harap tempoh anda dipenjara itu menjadi pengajaran kepada anda,” kata hakim.

Individu yang melanggar Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) boleh didenda maksimum RM1,000, penjara hingga 6 bulan atau kedua-duanya.

Lisa, 30, membayar denda itu sebelum menaiki teksi ke Seremban untuk bersama ibunya.

Lisa, yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 6 tahun, dihantar ke Penjara Kajang selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu di depan majistret di Petaling Jaya.

Hari ini, peguamnya, Rajpal Singh berkata hukuman penjara itu ialah keterlaluan untuk pesalah kali pertama.

“Ia adalah undang-undang lapuk kerana denda sudah mencukupi tanpa perlu menghantar pesalah kali pertama ke penjara,” katanya sambil menambah Lisa bukannya penjenayah tegar.

Rajpal, yang dibantu Suraj Singh, mendapati pandemik Covid-19 ialah isu serius, tetapi kesalahan PKP kerana enggan duduk di rumah ialah keadaan luar biasa untuk rakyat.

“Kepentingan awam lebih berguna jika Lisa keluar dari penjara kerana dia perlu menjaga anaknya selepas kematian suaminya pada 2016.”

Katanya, Lisa yang tinggal di pangsapuri 5 tingkat, pergi ke sebuah kedai berhampiran membeli sepaket minuman dan berhenti untuk berborak dengan 3 individu lain sebelum pulang ke rumah.

“Ketika ini, dia ditahan oleh polis,” katanya sambil menambah 2 individu lain masing-masing didenda RM1,000.

Tidak jelas apa yang berlaku kepada pesalah ke-3, seorang warga Indonesia.

Rajpal berkata, hukuman mengingkari PKP perlu konsisten kerana ada yang didenda dan dipenjarakan.

“Apabila Lisa melakukan kesalahan itu di bawah fasa ke-2 PKP, polis boleh memberi kompaun kepadanya berbanding menahan dan mendakwanya kemudian.”

Lisa melakukan kesalahan itu di Taman Subang Mas di Subang Jaya kira-kira 5 petang 12 April lalu.

Dia dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan, tetapi kemudiannya ditahan semula untuk dihadapkan ke mahkamah.

Di mahkamah sama, seorang warga Bangladesh bernama Boshi yang dijatuhkan hukuman penjara 60 hari turut digantikan denda RM1,000.

Dia melakukan kesalahan itu di Kampung Paya, Sungai Buloh pada 10 April lalu, tetapi majistret di sini mengarahkan hukuman penjara bermula dari 22 April selepas dia mengaku bersalah.

Peguam, T Harpal Singh mewakili Boshi, 37, yang turut membayar denda itu.