Pendengaran di mahkamah terbuka bermula 13 Mei

Pendengaran di mahkamah terbuka bermula 13 Mei

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat mengarahkan beberapa perkhidmatan di mahkamah seluruh negara beroperasi mulai hari ini.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan berkata, satu garis panduan pengendalian kes dan tatacara pengendalian piawai pencegahan Covid-19 semasa tempoh PKPB dan pasca-PKP akan dikeluarkan.
PUTRAJAYA:
Kes yang ditetapkan untuk pendengaran di mahkamah terbuka akan bermula secara berperingkat 13 Mei ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat mengarahkan beberapa perkhidmatan di mahkamah di seluruh negara beroperasi mulai hari ini.

Antara perkhidmatan yang akan beroperasi ialah pejabat pendaftaran, kaunter setempat, kaunter pesuruhjaya sumpah, kaunter surat kuasa wakil, kaunter Biro Perkhidmatan e-Filing serta Bahagian Pengurusan dan Kewangan di Pusat Tanggungjawab dan Pusat Kos.

Ia berikutan pengumuman Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada 1 Mei lepas dan surat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Mohd Khairul Adib Abd Rahman bertarikh 2 Mei mengenai operasi pejabat kerajaan serta sebagai mematuhi perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Menurut kenyataan PKPMP, satu garis panduan pengendalian kes dan tatacara pengendalian piawai pencegahan Covid-19 semasa tempoh PKPB dan pasca-perintah kawalan pergerakan akan dikeluarkan.

Mahkamah juga akan memastikan garis panduan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Awam sentiasa dipatuhi sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19 dalam menjalankan operasi mahkamah.

Semua pihak yang berurusan dengan mahkamah dimohon mematuhi arahan dan garis panduan yang dikeluarkan mahkamah, MKN dan KKM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.