59 dewan perniagaan gesa negeri buka semula perniagaan

59 dewan perniagaan gesa negeri buka semula perniagaan

Perniagaan dan industri adalah sisi penting ekonomi dan kesejahteraan awam dan mesti dibenarkan berfungsi tanpa gangguan.

Banyak dewan perniagaan menggesa kerajaan negeri selamatkan berjuta-juta pekerjaan dan pastikan kelangsungan perniagaan bermula sekarang.
PETALING JAYA:
Sebanyak 59 dewan perniagaan dan persatuan industri tampil menyokong keputusan Putrajaya melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) susulan debat berkait keengganan beberapa kerajaan negeri membenarkan perniagaan beroperasi semula.

Dalam kenyataan bersama, pengerusi persatuan terbabit menggesa kerajaan negeri akur keputusan kerajaan pusat supaya menggerakkan semula ekonomi dengan berkata, rantaian perbekalan adalah saling berkait antara negeri.

Mereka menyuarakan keyakinan bahawa keputusan Putrajaya diambil berdasarkan data tepat dan pertimbangan mendalam berkaitan kepentingan awam dengan kesihatan ekonomi.

Perniagaan dan industri adalah sisi penting ekonomi dan kesejahteraan awam Malaysia dan mesti dibenarkan berfungsi tanpa gangguan, katanya.

“Kita perlu selamatkan berjuta-juta pekerjaan dan menjamin kelangsungan perniagaan dari sekarang.

“Namun kita hanya boleh melakukannya sekiranya semua pihak bersatu dan mengambil langkah tepat dalam menjamin penerusan perniagaan dan melindungi kesejahteraan rakyat.”

Mereka berkata, firma tidak lagi mampu ditutup kerana mereka perlu menunaikan obligasi kewangan masing-masing, selain menambah bahawa ia juga untuk menjamin kehidupan orang ramai dengan memastikan mereka terus mempunyai pekerjaan.

Ia berkata, mereka komited dalam memastikan prosedur operasi standard (SOP) industri dipatuhi dan menjamin kesihatan serta keselamatan pekerja.

Menteri Kanan Ekonomi Mohamed Azmin Ali mengingatkan kerajaan negeri supaya mematuhi dasar Putrajaya membuka semula aktiviti ekonomi dengan berkata, tindakan (kerajaan negeri) tidak dibuat “berdasarkan bidang kuasa sah”.

Beliau berkata, dasar kerajaan persekutuan telah menjadi undang-undang, sekali gus membenarkan ia dikuatkuasakan di seluruh negara.

Azmin juga mengingatkan kerajaan negeri bahawa mereka mungkin berdepan tindakan undang-undang daripada perniagaan.

Terdahulu hari ini, kerajaan negeri Sabah dan Pulau Pinang berkata, ia akan terus mematuhi perintah kawalan pergerakan asal (PKP), dengan berkata, fokus utama mereka ialah untuk melindungi rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.