NAM perlu bersatu, elak negara kecil dinafikan vaksin Covid-19, kata Muhyiddin

NAM perlu bersatu, elak negara kecil dinafikan vaksin Covid-19, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin berkata, NAM perlu memainkan peranan lebih ketara dalam memperjuangkan akses dan perolehan bagi negara kecil untuk mendapatkan bekalan ubat serta vaksin sebaik saja ia dibangunkan.

Muhyiddin Yassin berkata, inilah masanya NAM membuktikan kepada dunia, ia mampu menangani Covid-19 dengan bekerjasama rapat dan muncul sebagai kekuatan utama dalam normal baru pasca-Covid-19.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menggesa Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) membantu negara kecil memerangi pandemik Covid-19.

Beliau berkata, Malaysia percaya NAM perlu memainkan peranan lebih ketara bagi memperjuangkan akses dan perolehan bagi negara kecil dalam mendapatkan bekalan perubatan, ubat-ubatan dan vaksin sebaik saja ia dibangunkan.

Katanya, Malaysia bimbang jika NAM tidak bersatu, negara kecil akan dipinggirkan apabila ubat-ubatan dan vaksin dibangunkan syarikat farmasi besar di negara maju.

“Kita mesti mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk pengisytiharan yang meminggirkan kepentingan negara anggota NAM, apatah lagi di saat dunia berdepan krisis Covid-19,” katanya pada mesyuarat Sidang Kemuncak Secara Dalam Talian NAM menerusi persidangan video malam tadi.

Mesyuarat itu dipengerusikan Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev, yang merupakan pengerusi semasa NAM bagi penggal 2019-2022. Tema sidang kemuncak itu ialah “Bersatu menentang Covid-19” bagi mempromosi solidariti antarabangsa dalam memerangi pandemik berkenaan.

“Kita tidak bersendirian dalam memerangi musuh tidak boleh dilihat ini. Kita semua sudah dan akan terus menerima kesan daripada krisis ini, sebab itu kita mesti bersatu.”

Muhyiddin berkata, Malaysia mengalu-alukan penubuhan pasukan petugas NAM yang akan memiliki pangkalan data bersama untuk keperluan perubatan serta mengenal pasti keperluan sosial dan kemanusiaan negara anggota NAM.

“Malaysia juga menyambut baik inisiatif Azerbaijan untuk mempromosikan nilai multilateralisme dalam memerangi wabak ini menerusi sidang kemuncak dalam talian ini.”

Pergerakan NAM terdiri daripada 120 negara anggota serta 17 wilayah dan 10 pertubuhan antarabangsa sebagai pemerhati. Ia merangkumi hampir 2/3 anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan mewakili lebih separuh populasi dunia.

Muhyiddin berkata: “Sekiranya Covid-19 membuktikan sesuatu kepada kita sebagai negara berkecuali, pandemik ini mempunyai peluang sama untuk berjaya (ditangani) dunia.

“Ada negara kecil, pendekatan tangani krisis Covid-19 setara, malah lebih baik daripada negara lebih besar.”

Katanya, inilah masanya NAM sebagai negara berkecuali membuktikan kepada dunia, dengan bersatu hati dan bekerjasama rapat, ia mampu menangani wabak itu dan muncul sebagai kekuatan utama dalam global normal baru pasca-Covid-19.

Mengenai usaha Malaysia, beliau berkata, kerajaan membuat perancangan berdasarkan 6 pendekatan untuk memastikan negara dapat menangani impak Covid-19 dan Malaysia kembali kepada situasi lebih baik daripada kerosakan akibat wabak itu.

“Pertama, bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19, Malaysia melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Sejak dilaksanakan pada 18 Mac lalu, ia memperlihatkan kesan positif. Bukan saja kadar kes baru semakin terkawal, malah kadar kematian berbanding kadar sembuh juga cuma 1.7%.”

Kedua, Muhyiddin berkata, kerajaan sedang memfokuskan usaha memastikan ketahanan ekonomi.

“Mengambil kira faktor luaran seperti perdagangan antarabangsa yang perlahan, ketidaktentuan dari sudut permintaan dan penawaran serta faktor dalaman seperti penurunan kadar perbelanjaan orang ramai susulan pelaksanaan PKP, kami memperkenalkan 3 pakej rangsangan ekonomi untuk membantu menampung pendapatan rakyat semasa PKP serta melaksanakan langkah bersesuaian bertujuan memulakan semula ekonomi selepas sekatan ditarik balik.”

Katanya, Malaysia melaksanakan pendekatan ketiga pelan itu yang menyaksikan negara memulakan semula ekonomi secara meluas mulai 4 Mei, namun tetap dalam keadaan terkawal dan teratur.

“Walaupun sebahagian besar sektor ekonomi dibuka semula hari ini (semalam), namun sektor serta aktiviti yang memerlukan rakyat berkumpul dan berhimpun masih tidak dibenarkan.”

Beliau turut menjelaskan ini merupakan cara Malaysia ke arah mengimbangi antara memulakan semula ekonomi dan kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) baru bagi mencegah gelombang baru jangkitan dalam kalangan rakyat.

Bagaimanapun, katanya, pembukaan semula sektor ekonomi tidak bermakna PKP sudah berakhir kerana ia masih berkuat kuasa sehingga 12 Mei ini.

Seterusnya ialah pelaksanaan strategi pemulihan ekonomi dalam menghadapi normal baru, diikuti revitalisasi ekonomi yang menyeluruh dan terakhir reformasi struktur ekonomi dalam menghadapi landskap global baru selepas Covid-19.

“Kejayaan keenam-enam ‘R’ yang saya nyatakan, iaitu resolve, resilience, restart, recovery, revitalize dan reform amat bergantung kepada kesungguhan dan tekad rakyat dalam menghadapi normal baru.”

Selepas ini, katanya, keadaan tidak akan sama seperti sebelum Covid-19 menular, namun kerajaan perlu tetap berusaha sedaya upaya untuk cuba mengembalikan negara kepada situasi jauh lebih baik berbanding apa yang sedang dihadapi sekarang.

“Hidup mesti diteruskan, namun pada masa sama, kita mesti bersama berganding bahu dalam mendapatkan ubat untuk merawat serta vaksin untuk mencegah wabak ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.