
Timbalan presiden PPBM itu berkata, bapanya pernah menyatakan dengan jelas beliau tidak selesa bekerjasama dengan kleptokrat dalam Umno berbanding PH.
Katanya, perkara ini dapat dibuktikan apabila Mahathir masih menjalin hubungan baik dengan pemimpin PH dan terus bersama blok pembangkang di Dewan Rakyat.
“Sebenarnya apa yang dibangkitkan ketua penerangan PPBM itu berkisar apa yang berlaku dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti. Ada beberapa tulisan ahli MPT bercanggah dan bertentangan, dari segi butiran nampak tidak sama.
“Paling utama, Mahathir sebagai pemimpin unggul dalam parti sepertimana dinyatakan perlembagaan parti, menyatakan tidak selesa dengan sebarang bentuk kerjasama dengan golongan kleptokrat di dalam Umno itu sendiri.
“Dia (Mahathir) juga ingatkan, seseorang buat keputusan sewaktu beremosi sudah tentunya akan buat keputusan silap yang akan dikesali kemudian hari, biarlah bertenang dahulu dan ambil masa sedikit,” katanya dalam ceramah yang disiarkan di Facebook PH malam tadi.
Semalam, Radzi dalam satu kenyataan mendakwa keputusan PPBM meninggalkan PH dibuat atas beberapa faktor, termasuk keadaan Mahathir sentiasa didesak pimpinan PH, terutamanya PKR dan DAP supaya melepaskan jawatan perdana menteri.
Katanya, Mahathir pada dasarnya menyokong keputusan PPBM keluar PH, tetapi menukar pendiriannya pada saat akhir Februari lalu.
Radzi berkata, keputusan PPBM keluar PH tidak dibuat tergesa-gesa kerana ia dibincangkan di pelbagai peringkat pimpinan parti beberapa bulan sebelumnya dan dimuktamadkan dalam mesyuarat Biro Politik PPBM pada 21 Feb serta MPT PPBM pada 23 Feb lalu.
Mukhriz berkata, dakwaan Radzi dibuat berdasarkan mesyuarat pada 23 Feb lalu sedangkan ketika itu agak ramai ahli MPT sependapat dengan Presidennya, Muhyiddin Yassin dan bersetuju PPBM bekerjasama dengan Umno dan PAS serta berpisah daripada PH.
“Ada satu desakan di dalam MPT untuk PPBM keluar dari PH dan perkara ini dibincangkan dengan panjang lebar, penuh emosi dan ada pandangan yang berbeza-beza.
“Agak ramai dalam MPT rupanya didalangi Muhyiddin sendiri yang hendak sangat PPBM berpisah dengan PH dan bersama Umno-PAS. Malah, disebut pula nama kerajaan Perikatan Nasional yang pada hari ini menubuhkan kerajaan.”
Mukhriz jangka dikenakan tindakan
Mukhriz yang juga menteri besar Kedah menjangkakan PPBM akan mengambil tindakan terhadapnya dengan menggunakan alasan sama seperti dilakukan Umno pada 2016.
“Tindakan ke atas kita diambil ketika itu, antara lain timbalan presiden Umno ketika itu dipecat dengan begitu ‘unceremonious’ dan alasan diberikan ialah tidak mengikuti atau tidak patuh dengan keputusan parti.
“Kena ingat alasan itu kerana alasan itu mungkin akan digunakan tidak lama lagi.”
DAP tak desak Mahathir
Sementara itu, Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook menafikan dakwaan Radzi yang PPBM keluar PH disebabkan Mahathir sentiasa didesak pemimpin PH, khasnya PKR dan DAP untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Katanya, perkara paling mudah dilakukan lawan ialah mencari alasan dengan menyalahkan DAP dalam setiap perkara.
“Soal desakan kepada Mahathir tidak wujud. Hal ini kerana apa yang kita bincang adalah atas kerangka PH. Sebaliknya konsensus PH adalah menyerahkan kepada Mahathir untuk buat keputusan dalam isu menyerahkan kuasa kepada Anwar.
“Mereka gunakan alasan itu seolah-olah DAP dan PKR desak Mahathir dan paksa Mahathir keluar dari PH, tetapi yang jelas keputusan Majlis Presiden PH bukan begitu. Kalau Mahathir didesak, sudah tentu dia tidak bersama PH lagi.”
Pendirian PPBM berhubung keputusan keluar PH menjadi pertikaian apabila Marzuki Yahya semalam mendakwa MPT parti itu tidak membuat keputusan meninggalkan gabungan berkenaan.
Bekas setiausaha agung PPBM itu berkata, mesyuarat MPT pada 23 dan 24 Feb lalu membuat 2 keputusan, iaitu menolak peletakan jawatan Mahathir sebagai pengerusi parti serta menetapkan beliau calon tunggal bagi jawatan perdana menteri.
Muhyiddin perlu buktikan diri disokong rakyat
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, Muhyiddin perlu mendapatkan sokongan ahli Parlimen di Dewan Rakyat bagi membuktikan dirinya ialah perdana menteri disokong rakyat.
“Kita sedang himpunkan seluruh kekuatan kita. Pada 18 Mei ini, kita hendak sebutkan ketika pelantikan dibuat pada Februari oleh Yang di-Pertuan Agong pada ketika dan saat itu, pada keyakinan baginda, Muhyiddin dapat sokongan majoriti ahli Parlimen dan proses angkat sumpah berlaku.
“Tetapi, di mana ujian untuk dia benar-benar dapat sokongan majoriti, tempatnya seharusnya dalam Parlimen.
“Sebab itulah Muhyiddin mesti melepasi ujian ini, jika tidak sebutlah apa-apa pun hujah, dia tetap akan dihambat dengan pandangan ini adalah kerajaan yang tubuh hasil daripada rampasan kuasa.”