Suami, isteri duduk berjauhan boleh rentas negeri seminggu sekali

PUTRAJAYA: Majlis Keselamatan Negara membenarkan suami atau isteri yang duduk berjauhan merentas negeri untuk bertemu keluarga masing-masing seminggu sekali.

“Mereka yang berhasrat untuk berbuat demikian perlu melaporkan diri di balai polis yang berhampiran,” kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob pada sidang media hari ini.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas 10 Mei lepas mengumumkan kebenaran kepada keluarga yang terpisah kerana terkandas di negeri lain melakukan perjalanan merentas negeri.

Beliau sedar larangan perjalanan rentas negeri menyebabkan ada suami atau isteri dan anak-anak tidak bersama sejak perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa pada 18 Mac.