Kawasan Pudu kini dikenakan PKPD separa

Dua anggota tentera dilihat berkawal di Jalan Pudu lewat malam tadi. Kelihatan pagar berduri dipasang di muka jalan tersebut.

PETALING JAYA: Kawasan Pudu di Kuala Lumpur kini diletakkan di bawah penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan separa (PKPDS) selepas anggota tentera dilihat memasuki kawasan itu lewat malam tadi.

Menurut seorang penduduk yang tinggal berhampiran, trak tentera dilihat memasuki kawasan berkenaan kira-kira pukul 11 malam, tetapi jumlah anggota yang berada di situ tidak dapat ditentukan.

Penduduk berkenaan yang tinggal di Jalan Brunei Utara berkata, beliau berasa takut apabila anggota tentera memasuki kawasan itu.

Beliau juga melihat anggota terbabit memasang pagar berduri di jalan keluar.

Ketika dihubungi FMT, polis Dang Wangi mengesahkan kawasan itu diletakkan di bawah PKPDS.

PKPDS membolehkan pihak berkuasa menjalankan ujian Covid-19 ke atas penduduk dan pekerja asing. Orang ramai dibenarkan keluar atau masuk ke kawasan itu jika mempunyai sebab sah.

Anggota tentera dilihat berkawal di sebatang jalan berhampiran kawasan Pudu malam tadi.

Terdapat ramai pelarian dan pendatang asing tanpa dokumen di kawasan Pudu, termasuk dari Myanmar.

Sumber memberitahu FMT bahawa berlaku peningkatan kes Covid-19 melibatkan pendatang asing di kawasan itu

Difahamkan selain Jalan Pudu, jalan yang turut terlibat ialah Jalan Kancil, Jalan Pasar, Jalan Landak, Lorong Brunei 2 dan Lorong Brunei 3.

Sekatan sama dilaksanakan awal bulan ini di 2 lokasi di Selayang, selain sebahagian kawasan Chow Kit di Kuala Lumpur.

Sejak Putrajaya melonggarkan sekatan ke atas perniagaan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), beberapa kawasan perniagaan yang sibuk di Lembah Klang diletakkan di bawah beberapa sekatan, termasuk perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).