Atlet ke Sukan Olimpik Tokyo diberi kelonggaran khas

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Seramai 265 atlet mewakili negara ke Sukan Olimpik dan SukanParalimpik di Tokyo, Jepun diberi kelonggaran khas untuk persiapan dan sesi latihan.

Bagaimanapun mereka perlulah mematuhi tatacara operasi standard (SOP) yang ditetapkan, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

“Hari ini mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan perintah kawalan pergerakan menerima permohonan daripada Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican untuk kelonggaran khas bagi program Road to Tokyo 2020.

“Sesi latihan ini akan dijalankan di 3 Kem Latihan Berpusat iaitu Kompleks Sukan Bukit Jalil yang melibatkan 181 individu; Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara (56); dan Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi (28),” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata pada fasa pertama pada 1 Jun sehingga 30 Jun akan melibatkan saringan Covid-19 sewaktu pendaftaran atlet dan pendekatan kuarantin selama 30 hari itu, bersamaan 2 kali tempoh inkubasi.

“Mereka yang terlibat tidak akan dibenarkan keluar kem. Sebelum tamat tempoh latihan, mereka juga akan dikenakan saringan Covid-19,” katanya.

Satu jawatankuasa pemantauan yang dipengerusikan menteri belia dan sukan akan memastikan program latihan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Sementara itu, kedai gunting rambut masih tidak dibenarkan walaupun pihaknya menerima banyak rayuan, terutama menjelang raya.

Beliau berkata pihaknya akan membincangkan perkara itu jika ada terima nasihat daripada Kementerian Kesihatan.

“Setakat ini tak ada lagi,” katanya.