
Apa disuarakan Irfan patut diambil berat kerana beliau bukan sahaja berada di kemuncak kerjaya, malah antara atlet negara yang paling konsisten memperaga prestasi.
Beliau berjaya merangkul pingat emas ketujuh berturut-turut dalam acara lempar cakera di Sukan SEA 2025, satu pencapaian yang mencerminkan disiplin tinggi dan kecemerlangan berterusan.
Di saingan benua, Irfan juga telah membuktikan kemampuan apabila memenangi pingat perak di Kejohanan Olahraga Asia 2017 di India dan menambah dua lagi pingat gangsa dalam edisi seterusnya.
Catatan peribadi terbaik sejauh 62.55m, dicatatkan di Linz pada 2017 kekal sebagai rekod kebangsaan Malaysia dan meletakkan beliau dalam kalangan pelempar cakera terkemuka Asia.
Dalam temu bual bersama FMT dari pangkalan latihannya di Hungary, di mana beliau sedang membuat persiapan untuk Sukan Asia di Jepun dari 19 Sept hingga 4 Okt, Irfan menyuarakan ketegasannnya secara terbuka.
Dilihat meluas sebagai harapan terbaik Malaysia untuk meraih pingat emas olahraga di temasya tersebut, beliau sedar apa yang berlaku di luar padang mampu mencorak apa yang bakal berlaku.
Suaranya menyusul selepas seruan lantang daripada Presiden Persatuan Olahraga Melaka, Fadzil Bakar, dan bekas jaguh lari berpagar kebangsaan, Hamdi Jaafar.
Sebagai atlet yang masih memburu pingat, Irfan meletakkan isu berkenaan dalam fokus yang amat jelas. Baginya dan juga atlet lain, perkara itu sesuatu yang mendesak dan merupakan satu bentuk tanggungjawab kepada negara.
Bagi Irfan, risiko tersebut bukan lagi sekadar teori. Ia kini telah menjadi sebahagian daripada perbualan harian dalam kalangan atlet.
FMT: Apakah atlet ada bercakap mengenai kemungkinan berdepan sekatan?
Irfan: Ya, kami memang bercakap mengenainya, dan ia cukup membimbangkan. Kami sudah lihat apa yang berlaku kepada negara lain apabila persekutuan sukan mereka dikenakan sekatan.
Andai Olahraga Malaysia (MA) dikenakan sekatan oleh World Athletics, negara mungkin kehilangan peluang bertanding di peringkat antarabangsa. Justeru, tiada Sukan SEA, Sukan Asia, Kejohanan Dunia, malah kelayakan ke Sukan Olimpik juga akan terjejas.
FMT: Sebagai atlet yang berada di kemuncak kerjaya, sejauh mana tahap kebimbangan anda?
Irfan: Saya cukup bimbang, bukan sahaja bagi diri saya, malah untuk semua atlet Malaysia. Kami berlatih bertahun-tahun, malah ada yang berpuluh tahun, demi peluang untuk bertanding di Sukan SEA, Sukan Asia, dan Sukan Olimpik.
Jika isu pentadbiran meletakkan perkara itu dalam risiko, ia sangat mengecewakan kerana ia berada di luar kawalan kami.
FMT: Anda dilihat sebagai prospek terbaik Malaysia untuk emas Sukan Asia. Apa kesan penggantungan MA kepada diri anda?
Irfan: Ini bermakna saya akan kehilangan antara peluang terbesar dalam kerjaya saya. Sebagai atlet lempar cakera, kita tidak mempunyai banyak tahun di kemuncak prestasi. Saya bekerja keras untuk mencapai ke tahap ini, dan Sukan Asia adalah sasaran yang realistik bagi saya.
Jika saya tidak boleh bertanding disebabkan isu tadbir urus, itu sesuatu yang tidak akan dapat saya dapat kembali. Tiada atlet sepatutnya membayar harga semahal itu.
FMT: Apakah pandangan anda berkait kontroversi melibatkan jawatan presiden dan keputusan badan antarabangsa?
Irfan: Sebagai atlet, kami mungkin tidak terlibat dalam urusan tadbir urus, tapi kami memahami satu perkara yang jelas. Apabila World Athletics dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membuat sesuatu keputusan, ia mesti dihormati.
Bila seseorang telah diputuskan tidak layak, persekutuan kenalah patuh. Kalau tidak, akibatnya akan ditanggung atlet, bukannya pegawai.
Jalan penyelesaian terbaik adalah untuk Karim Ibrahim berundur dan membenarkan keadaan kembali stabil.
FMT: Adakah anda melihat ini sebagai isu kepimpinan?
Irfan: Ya, dan ia serius. Kepimpinan adalah tanggungjawab dan kebertanggungjawaban.
Apabila tadbir urus menimbulkan persoalan, dengan persepsi mengenai konflik kepentingan, ia akan menjejaskan kepercayaan. Pada tahap ini, setiap keputusan bukan sahaja perlu adil, tetapi mesti nampak adil.
Jika keputusan bercanggah dengan World Athletics dan CAS, anda meletakkan risiko terhadap kerjaya keseluruhan generasi atlet kita.
FMT: Apa yang ingin anda sampaikan kepada mereka yang ketika ini berkuasa?
Irfan: Setiap keputusan ada kesannya kepada kehidupan athletes dan kerjaya mereka.
Selesaikan perkara ini secepatnya. Patuh peraturan World Athletics dan lindungi atlet. Kita mewakili Malaysia. Kita hanya mahukan peluang adil untuk bersaing di bawah bendera negara.