Persatuan sukan kena serius bangun bakat akar umbi, kata Mordi

Persatuan sukan kena serius bangun bakat akar umbi, kata Mordi

Timbalan menteri belia dan sukan berkata atlet berjaya tidak muncul secara tiba-tiba.

Mordi Bimol menerima kunjungan hormat Persatuan Bina Badan Bahagian Kuching (KDBBA). (Gambar Facebook)
KUCHING:
Persatuan sukan di setiap peringkat perlu memberi penekanan lebih serius, tersusun, dan berterusan terhadap pembangunan, khususnya di peringkat akar umbi bagi memastikan lahirnya pelapis berkualiti untuk meneruskan kecemerlangan pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol, berkata bagi menyokong hasrat itu, beliau memberi jaminan menyediakan bantuan dan sokongan selari pendekatan badan-badan berkenaan.

“Setiap sukan adalah berbeza, tetapi satu persamaan yang saya lihat ialah kepentingan pembangunan akar umbi.

“Atlet yang berjaya tidak muncul secara tiba-tiba kerana mereka perlu ada asas terlebih dahulu, dan di sini persatuan sukan memainkan peranan penting,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat Persatuan Bina Badan Bahagian Kuching (KDBBA).

Dalam pada itu, Mordi berkata usaha KDBBA wajar dicontohi kerana menyediakan platform permulaan kepada atlet bina badan bermula dari kawasan selatan negeri itu untuk terus berkembang.

“Melalui pertemuan ini, saya dimaklumkan KDBBA telah menggariskan laluan pembangunan atlet secara jelas, bermula daripada pertandingan Mr Kuching ke peringkat negeri dan seterusnya kebangsaan, sekali gus menyediakan rancangan tersusun.

“Menerusi usaha ini, ramai atlet Kuching telah berjaya ke peringkat serantau, Asia, dan antarabangsa dan ini saya maksudkan dengan pembangunan akar umbi yang berkesan,” katanya.

Namun, beliau turut mengakui cabaran dihadapi dalam sukan bina badan termasuk kekangan dana untuk menghantar lebih ramai atlet ke kejohanan peringkat nasional atau antarabangsa, yang sekali gus mengehadkan peluang atlet cemerlang mendapat pendedahan sewajarnya.

“Sebab itu, sepanjang lawatan kerja saya mahu memahami dengan lebih mendalam kebimbangan dan isu dihadapi pihak berkepentingan sukan di Sarawak, serta mendapatkan maklum balas daripada komuniti sukan tempatan. Saya memberi jaminan bahawa perkara ini akan diteliti dan ditangani,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.