Penerimaan agamawan PAS cabaran besar Samsuri

Penerimaan agamawan PAS cabaran besar Samsuri

Pengerusi baharu PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, akan perlu melembutkan naratif politik identiti dan menampilkan dasar yang relevan kepada semua kaum.

Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai pengerusi PN dalam mesyuarat luar biasa majlis tertinggi PN semalam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Cabaran besar Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) barangkali penerimaan agamawan dalam PAS, ketika beliau menjadi harapan untuk menarik sokongan pengundi Melayu atas pagar dan bukan Melayu.

Penganalisis melihat pelantikan Samsuri sebagai langkah untuk set semula imej konfrontasi PN, sambil mengimbangi kebimbangan Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) mengenai dominasi kelompok agamawan.

“Dengan imej technokratik, Samsuri dilihat lebih neutral dan berpotensi memulihkan imej PN. Namun, penerimaan dalam kalangan agamawan PAS menjadi persoalan. Tradisi PAS sering menyanjung kepimpinan ulama, dan Samsuri mantan setiausaha politik presiden masih dilihat berada dalam bayangan Presiden Hadi Awang,” kata Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting.

Zaharuddin menyoal mampukah naib presiden PAS itu keluar daripada bayangan Hadi dan membina autoriti sendiri.

“Jika tidak, jawatan pengerusi PN hanya akan dilihat sebagai kesinambungan pengaruh presiden PAS, bukan transformasi sebenar. Kejayaan Samsuri boleh menjadikan PN lebih tersusun, tetapi kegagalan boleh menjejaskan imej gabungan dan menimbulkan persepsi PAS tamak kuasa,” katanya.

Samsuri, yang merupakan menteri besar Terengganu dengan latar belakang jurutera aeroangkasa, dilantik sebagai pengerusi PN dalam mesyuarat luar biasa majlis tertinggi PN semalam.

Beliau satu-satunya nama yang diketengahkan untuk menggantikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang meletak jawatan berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Mujibu Muis dari Universiti Teknologi Mara percaya latar belakang Sanusi dan perwatakan beliau membantu PN meraih pengundi Melayu atas pagar sambil mengukuhkan sokongan golongan konservatif.

Namun PN bawah kemudi Samsuri akan perlu melembutkan naratif politik identiti, dan menampilkan dasar bersama yang jelas relevan kepada semua kaum, bagi meraih sokongan bukan Melayu secara signifikan.

“Dalam konteks pengundian bukan Melayu, Samsuri hanya mampu menarik segmen tertentu yang pragmatik, khususnya jika beliau mempromosikan isu kestabilan ekonomi, keselamatan dan dasar kebajikan,” katanya.

Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata kedudukan PN tidak menjadi lebih baik dengan pelantikan Samsuri.

“Bawah Muhyiddin pun sukar mendapat sokongan bukan Melayu. Saya fikir Muhyiddin lebih baik dari segi menarik sokongan,” katanya.

Selepas namanya diumumkan sebagai pengerusi, Samsuri mengumumkan struktur dan gerak kerja PN perlu ditambah baik untuk menjadikan gabungan itu ‘nukleus harapan rakyat’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.