Kumpulan hak asasi bidas PH gagal mansuh undang-undang hasutan

Pakatan Harapan berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan dan meminda Akta Komunikasi dan Multimedia.

PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) membidas bekas kerajaan Pakatan harapan (PH) atas kegagalannya memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berikutan siasatan polis ke atas kenyataan ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar mengenai persidangan Parlimen Isnin lepas.

Dalam kenyataan hari ini, LFL berkata, bekas kerajaan PH mengakui wujud masalah pada undang-undang berkenaan dan berjanji untuk memansuhkannya dalam manifesto pilihan raya mereka.

“Bagaimanapun walaupun memegang kuasa kerajaan pusat antara Mei 2018 dan Februari 2020, bekas kerajaan PH tidak mengambil apa-apa langkah untuk memansuhkan atau meminda kedua-dua undang-undang ini, sekali gus gagal menunaikan janji mereka dalam Buku Harapan.

“Akibatnya, undang-undang ini terus wujud untuk digunakan terhadap mereka yang didakwa melakukan kesalahan,” kata LFL.

“Kedua-dua Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia digubal secara longgar menyebabkan timbul kekaburan mengenai perbuatan yang dianggap salah atau sebaliknya di bawah undang-undang ini.

“Ini mencetuskan kesan menakutkan ke atas kebebasan bersuara,” katanya.

Susulan itu, LFL menggesa kerajaan baru Perikatan Nasional (PN) menimbangkan pemansuhan Akta Hasutan dan pindaan ke atas Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Kami juga menggesa kerajaan baru melaksanakan moratorium ke atas semua siasatan di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia sementara menunggu ia dimansuhkan atau dipinda,” katanya.

Pada Isnin, dalam satu rakaman video berdurasi hampir 3 minit, ahli Parlimen Kuala Langat itu membuat kenyataan mengenai sidang Parlimen 1 hari dan kerajaan.

Dipercayai kenyataan itu mengandungi unsur hasutan dan provokasi.

Timbalan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Pendakwaan/Undang-undang) Mior Faridalathrash Wahid berkata, bekas menteri air, tanah dan sumber asli itu akan dipanggil bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Setakat ini, kami menerima 33 laporan di seluruh negara berhubung dakwaan itu dan siasatan sedang dijalankan,” katanya.