Putrajaya batal penggabungan UMT-UniSZA

Noraini Ahmad berkata, penggabungan UMT dan UnisSZA dijangka melibatkan kos tinggi.

PUTRAJAYA: Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad mengumumkan Kabinet membatalkan penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisSZA).

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor dan cabaran semasa.

“Antaranya perbezaan fokus tujahan yang ketara, penyelarasan fakulti akademik dan institusi penyelidikan sedia ada.

“Bahkan melihat tahap ketersediaan warga kedua-dua universiti ini dalam membentuk satu identiti tersendiri bagi universiti baru kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 4 Sept 2019, kerajaan Pakatan Harapan dilaporkan bersetuju secara dasarnya terhadap cadangan penggabungan itu yang akan mengukuhkan keupayaan 2 universiti itu sejajar 10 perpindahan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Sebelum itu, cadangan penggabungan 2 universiti berkenaan ditolak pelbagai pihak, termasuk Majlis Profesor UMT. Majlis itu ialah badan yang hampir semua ahlinya merupakan ahli senat UMT berkata, visi dan misi kedua-dua universiti itu berbeza.

Noraini berkata, penggabungan UMT dan UniSZA dipercayai akan memadam kejayaan dalam mencipta identiti dan mengembangkan fokus tujahan masing-masing hingga ke peringkat antarabangsa.

“Penggabungan tersebut turut dijangka melibatkan kos yang tinggi. Oleh demikian, penggabungan ini tidak akan diteruskan kerajaan.”