
Menteri Perladangan dan Komoditi Noraini Ahmad mengambil contoh perkembangan pesat industri hiliran berasaskan sawit, getah, koko dan kayu dalam bidang farmaseutikal, kosmetik, makanan premium, biomaterial dan tenaga hijau.
“Sektor agrikomoditi mempunyai potensi besar dalam menyediakan peluang pekerjaan yang mampan dan stabil kepada rakyat,” katanya dalam ucapan sempena pelancaran Skuad Agrikomoditi Kementerian Perladangan dan Komoditi di Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
Skuad sukarelawan ini akan digerakkan ke setiap kawasan Parlimen bagi menyampaikan maklumat berkaitan sektor agrikomoditi dan mengangkat martabat pengusaha, dengan penglibatan mahasiswa.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dalam ucapannya menyeru lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyertai Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian, yang mampu membuka peluang kerjaya berpendapatan tinggi.
Zahid menegaskan bidang pertanian akan melahirkan tenaga kerja mahir untuk sektor agrikomoditi, seperti getah, koko, lada, kenaf dan kayu yang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan.
“Saya akan menggalakkan mereka untuk masuk ke TVET pertanian dengan gaji melepasi melebihi kadar gaji minimum,” katanya.
Berkait Skuad Agrikomoditi, Zahid mahu jaringan di lapangan yang menghubungkan kerajaan dengan realiti dihadapi pekebun, pengusaha dan komuniti diperkasakan.