Anak petugas barisan depan tidak didiskriminasi, kata Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan dakwaan anak petugas barisan depan didiskriminasi berikutan cadangan ketetapan prosedur operasi standard (SOP) di taman asuhan kanak-kanak (taska) ketika perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, cadangan itu dibuat memandangkan petugas barisan depan antara kumpulan beriko jangkitan dan dibimbangi akan menjangkiti anak-anak dan merebak kepada orang lain jika ia tidak diambil langkah pencegahan.

“Salah satu kumpulan sasar dikenal pasti barisan depan KKM atau mereka bertugas di hospital, mereka terdedah kepada bukan sahaja Covid-19 tapi virus lain juga, kita selalu diperingatkan apabila kembali ke rumah jangan terus pegang anak, bersihkan diri dulu, kemungkinan kita bawa jangkitan tersebut.

“Kita bukan diskriminasi dalam memberi rawatan, kita menitik berat risiko yang berlaku, bukan kita diskriminasi atau sekat tapi kita khaskan satu tempat anak-anak barisan depan KKM, kalau di hospital memang dari warga kerja tidak ada masalah sebab anak-anak dari kumpulan sama, tapi kalau bergaul kanak-kanak lain kena ada tempat khas untuk anak-anak barisan depan KKM, kita beri perhatian.

“Kita khaskan di satu tempat. Kita memberi pengawasan khusus kepada anak petugas kesihatan. Mungkin cara ini dilihat seperti kita asingkan, namun sebenarnya ia memberikan perhatian khusus kepada mereka,” katanya.

Terdahulu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) membidas Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) atas diskriminasi terhadap anak petugas barisan depan yang dihantar ke taska.

MMA merujuk kepada Panduan Pencegahan Penularan Covid-19 Pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bagi Keselamatan Warga Taman Asuhan Kanak-Kanak, yang menurut persatuan itu menyatakan anak petugas barisan depan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan daripada ibu bapa mereka.

Menurut MMA lagi, panduan itu menyatakan tempat paling selamat untuk anak petugas barisan depan adalah “penjagaan di rumah”, dan sekiranya mereka dihantar ke Taska, “perlu diasingkan daripada anak-anak yang lain”.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, isu tersebut menjadi perbualan mungkin disebabkan cara penerangannya.

Setakat ini, katanya, SOP untuk taska menyediakan ruang khusus bagi anak petugas barisan depan masih diteliti dan belum dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Mungkin cara kita oleh perkataan itu seolah-olah diasingkan tapi memberi perhatian khusus, tapi SOP tersebut belum lagi dibentangkan di MKN. Kita hanya baru perhalusi dan cadangan nak bentang,” katanya.