‘Plea bargain’ kurang hukuman amalan biasa, kata peguam

su rundingan penyelesaian mendapat perhatian umum apabila Riza Aziz diberikan pelepasan bersyarat daripada tuduhan pengubahan wang sebanyak AS$248 juta (RM1.08 bilion) yang dikaitkan dengan 1MDB.

PETALING JAYA: Beberapa peguam menyangkal dakwaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia tidak mengguna pakai konsep “rayuan penyelesaian” (plea bargain) dengan berkata, ia adalah amalan biasa di negara ini.

Beberapa peguam jenayah memberitahu FMT bahawa adalah biasa bagi individu yang dituduh melakukan kesalahan jenayah merayu hukuman lebih rendah atau pertuduhan lebih ringan dengan menulis surat kepada pendakwa raya.

Menurut pindaan yang dibuat pada 2012, Kanun Acara Jenayah membenarkan rundingan pra-perbicaraan yang menyaksikan tertuduh dan pendakwa membincangkan rayuan penyelesaian.

Malah kanun itu turut menetapkan prosedur bagi tertuduh membuat permohonan rayuan penyelesaian kepada mahkamah.

Rayuan penyelesaian adalah dihadkan mengikut tahap hukuman dan kesalahan yang dilakukan. Undang-undang tidak menetapkan rayuan penyelesaian bagi pelepasan atau pembebasan, sama ada bersyarat atau tanpa syarat.

Isu rundingan penyelesaian mendapat perhatian umum bulan ini apabila Riza Aziz, anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, diberikan pelepasan bersyarat daripada tuduhan pengubahan wang sebanyak AS$248 juta (RM1.08 bilion) yang dikaitkan dengan 1MDB.

Pendakwa membuat permohonan pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA) kepada mahkamah dengan syarat beliau (Riza) membuat restitusi kepada kerajaan dengan memulangkan dana terbabit.

Peguam berkata, keputusan melepaskan itu bukanlah rayuan penyelesaian, tetapi tertakluk kepada budi bicara peguam negara yang mempunyai bidang kuasa tunggal sama ada hendak meneruskan pendakwaan atau sebaliknya.

Ia timbul susulan representasi yang dikemukakan kepada pendakwa oleh peguam Riza.

Mereka berkata, langkah pihak pembelaaan mengemukakan representasi bertulis untuk mengurangkan penalti atau hukuman bagi satu-satu kesalahan adalah amalan biasa.

Peguam Hasif Hasan berkata, peguam biasanya akan menulis kepada timbalan pendakwa raya (DPP) terbabit untuk mengkaji semula atau menggugurkan pertuduhan.

“Kami akan kemukakan fakta kes, hujahan dan keterangan. Jika DPP bersetuju, maka tertuduh akan mendapat pertuduhan lebih ringan.

“Pilihan lain ialah mengisi Borang 28A berhubung niat klien kami untuk membuat rayuan penyelesaian dan memaklumkan kepada hakim dan DPP mengenainya.

Hanif berkata, tertuduh tidak boleh memohon keputusan pelepasan tanpa pembebasan.

“Dalam isu Riza, peguam beliau menulis permohonan untuk mengkaji semula pertuduhan kepada pendakwa,” katanya.

Mahathir mengkritik keputusan melepaskan Riza dengan berkata, ia boleh menjadi duluan yang akan menyaksikan individu yang mencuri wang dilepaskan daripada hukuman dengan memulangkannya.

Beliau juga berkata, Malaysia tidak mengguna pakai konsep rayuan penyelesaian, iaitu “apabila suspek perbauatn jenayah menawarkan bantuan kepada kerajaan sebagai balasan konsesi yang memberi kelebihan kepadanya”.

Bagaimanapun kata Hanif, di bawah pelepsan bersyarat, peguam negara boleh memfailkan semula pertuduhan jika syaratnya tidak dipenuhi.

Peguam Haijan Omar berkata, proses rayuan penyelesaian direkodkan di bahawa pindaan Kanun Acara Jenayah.

“Semuanya telus dan direkodkan. Ia termasuk dalam rekod rayuan jika hukumannya dipertikaiakan,” katanya dengan menambah bahawa pendakwa atau pembelaan boleh membuat rayuan terhadap hukuman sekiranya mereka tidak bersetuju.

Peguam kanan jenayah Bala Mahesan berkata, rayuan penyelesaian adalah digalakkan bagi menurunkan beban kerja badan kehakiman dan mengurangkan jumlah kes tertunggak.

Bagaimanapun katanya, rayuan penyelesaian tidak wajar ditawarkan kepada semua kes, terutama sekali yang melibatkan kes berprofil tinggi seperti Riza Aziz.