Gangguan seksual 2 Adun DAP perbuatan jenayah, kata Guan Eng

Adun Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin (kiri) dan Adun Kampung Tunku, Lim Yi Wei menerima ugutan rogol serta bunuh di Facebook.

PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengecam gangguan seksual atas talian ke atas Adun Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin dan Adun Kampung Tunku, Lim Yi Wei.

“Sebarang bentuk gangguan seksual adalah satu tindakan jenayah yang tidak patut dipandang remeh dan dibiarkan menjadi budaya dalam masyarakat kita.

“Saya harap pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya,” tulisnya dalam catatan Facebook hari ini.

Semalam, All Women’s Action Society (Awam) menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta polis mengambil tindakan tegas untuk melindungi wanita yang menjadi mangsa gangguan seksual atas talian.

Ini menyusul Jamaliah dan Lim yang menerima ugutan rogol dan bunuh di Facebook. Jamaliah sudah membuat laporan polis berhubung ugutan itu.

NGO hak asasi wanita itu berkata, kes gangguan seksual atas talian semakin meningkat ketika perintah kawalan pergerakan.

Katanya, pihak berkuasa tidak boleh memandang remeh keseriusan gangguan seksual atas talian dengan memberi contoh Thivyaanayagi Rajendran, 20, yang didakwa membunuh diri di Pulau Pinang baru-baru ini.