Penguatkuasaan lemah standard perumahan pekerja punca lonjakan kes Covid-19, kata MTUC

Penguatkuasaan lemah standard perumahan pekerja punca lonjakan kes Covid-19, kata MTUC

Pihak berkuasa digesa memeriksa tempat kerja dan asrama pekerja asing berikutan kemunculan kluster baru Covid-19.

Petugas Kementerian Kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas pekerja warga asing di kawasan pasar basah Pudu di Kuala Lumpur.
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini menyalahkan penguatkuasaan undang-undang yang lemah membabitkan standard perumahan untuk pekerja susulan peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan pekerja asing.

Dalam satu kenyataan, setiausaha agung MTUC J Solomon berkata, pelbagai agensi kerajaan gagal memastikan penginapan yang sempurna untuk pekerja seperti termaktub dalam Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990.

“Mereka bukan saja gagal dalam pelaksanan, tetapi juga mengecewakan pekerja tempatan dan pekerja asing yang ditempatkan oleh majikan di asrama yang penuh sesak dan dikongsi pekerja ketika mereka sedang atau tidak bekerja.”

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan kluster baru Covid-19 membabitkan 44 kes di sebuah tapak pembinaan di Kuala Lumpur.

Noor Hisham juga menyentuh mengenai kemungkinan virus terbabit menular dalam kalangan pekerja asing berikutan mereka tinggal dalam ruang yang sesak dan sempit.

Solomon berkata, ia penting untuk melindungi pekerja menerusi pemeriksaan buruh bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan undang-undang dan standard.

Beliau berkata, ia boleh dilaksanakan melalui kerjasama antara pihak berkuasa dengan persatuan pekerja.

“MTUC sudah berkali-kali mendesak Jabatan Buruh untuk melakukan pemeriksaan kolaboratif, tetapi maklum balas daripada jabatan sangat lemah,” tambahnya.

Beliau mendesak agensi yang berkenaan supaya melaksanakan pemeriksaan segera di tempat kerja dan asrama untuk pekerja asing di seluruh negara.

Beliau berkata perkara itu amat penting dalam menangani isu kebersihan dan keselamatan dalam kalangan pekerja warga asing, yang kebanyakannya hidup dalam keadaan sesak menyebabkan penjarakan sosial mustahil untuk diamalkan.

“Selain Covid-19 yang kini menular dalam kalangan mereka, kita melihat peningkatan penyakit antaranya seperti batuk kering dan disentri yang tidak pernah didengar selama ini di negara ini.

“Majikan harus segera menjalin kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kesihatan untuk menyusun panduan dan prosedur khusus kuarters pekerja bagi memeriksa penularan virus itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.