Kami tak nafi hak bukan Islam tapi hentikan memandu ketika mabuk, kata menteri

Seorang anggota polis maut di sekatan jalan raya di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) pada 3 Mei selepas dilanggar trak pikap yang dipandu lelaki yang dipercayai mabuk. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Hak orang bukan Islam untuk meminum minuman keras tidak dinafikan namun mereka mesti mematuhi undang-undang bahawa mereka tidak sepatutnya minum arak dan memandu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang, Takiyuddin Hassan, berkata kerajaan memberi perhatian serius dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap pemandu mabuk dan memastikan cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang dimuktamadkan oleh Kementerian Pengangkutan dibawa ke persidangan Parlimen terdekat.

“Kerajaan amat menyokong cadangan Kementerian Pengangkutan untuk menetapkan hukuman penjara mandatori terhadap pemandu yang ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk (Seksyen 45) mengikut peruntukan sedia ada masih merupakan kuasa budi bicara mahkamah,” tambahnya.

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong melancarkan tinjauan atas talian, meminta pendapat awam mengenai hukuman terhadap mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Beliau menambah kementerian itu ingin mengetahui pandangan orang ramai mengenai had kandungan alkohol yang harus dibenarkan serta hukuman di bawah undang-undang.

Takiyuddin juga berkata sebagai langkah pencegahan, kerajaan akan akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara supaya kes membabitkan kematian angkara pemandu mabuk turut disiasat dan dituduh mengikut Kanun Keseksaan, termasuk Seksyen 302 iaitu menyebabkan kematian dengan sengaja ataupun Seksyen 307 iaitu cubaan membunuh dengan niat.

Pegawai polis, Safwan Muhammad Ismail, dilanggar seorang pemandu ketika beliau bertugas di sekatan jalan raya Lebuhraya Lekas awal bulan ini.

Pemandu, K Kalaichelvan, mengaku tidak bersalah atas tuduhan meminum arak dan merempuh sekatan jalan raya.

Seorang lagi individu, Irwan Herman Kamarudin, yang merupakan pekerja Alam Flora, terbunuh selepas dirempuh kenderaan yang dipnadu melawan arus lalu di Jalan Pintasan, Kuantan.

Pemandu itu, yang disyaki mabuk, direman untuk siasatan.

Ketua penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad meminta kerajaan menangguhkan pengeluaran dan penjualan arak sehingga menemui penyelesaian bagi menangani isu pemandu mabuk.