Bekas peguam negara arahkan SPRM batal pembekuan akaun milik bos hartanah selepas diminta Guan Eng

Lim Guan Eng menulis kepada Tommy Thomas pada tahun lepas meminta pembekuan akaun bank milik seorang hartawan hartanah ditarik balik, menurut dokumen.

KUALA LUMPUR: Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng pernah meminta Jabatan Peguam Negara (AGC) membatalkan arahan pembekuan melibatkan beberapa akaun bank milik seorang taikun hartanah yang sedang disiasat berhubung transaksi kira-kira RM4 juta dana berkait 1MDB, FMT difahamkan dalam satu pendedahan terkini.

Ia kurang sebulan selepas pihak berkuasa dikritik kerana bersetuju melepaskan Riza Aziz dengan syarat dia mengembalikan wang yang didakwa diselewengkan daripada syarikat milik negara itu.

Siasatan FMT melibatkan beberapa dokumen turut mendapati permintaan Lim yang dibuat pada akhir Mei tahun lepas itu dipenuhi peguam negara ketika itu, Tommy Thomas, dalam tempoh 2 minggu.

Thomas membuat keputusan tersebut walaupun diberitahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang wang sebanyak RM4 juta gagal dipulangkan oleh taikun itu kepada kerajaan.

Thomas seterusnya mengarahkan SPRM menarik balik pembekuan ke atas 4 akaun bank berkenaan, menurut surat jawapannya kepada Lim.

Dalam surat itu, Thomas mengakui diberitahu SPRM yang sebahagian besar wang berkenaan – kira-kira RM3.9 juta – tidak lagi ditemui dalam salah satu akaun bank yang dikatakan menerima dana itu.

Tindakan Lim membuat permintaan itu kepada Thomas tidak disenangi pihak yang rapat dengan penyiasatan kes melibatkan taikun itu.

“Pertamanya, tindakan itu tidak melalui prosedur yang betul,” kata sumber itu kepada FMT.

“Sebarang permintaan untuk melepaskan akaun yang dibekukan mesti dibuat menerusi peguam pihak yang disiasat itu. Apabila ia dibuat oleh seorang menteri, bukan sahaja menyebabkan konflik kepentingan tetapi juga mendedahkan butiran sulit penyiasatan kepada ahli politik.”

FMT sedang berusaha menghubungi pihak-pihak terlibat mendapatkan respon mereka.

Arahan membekukan akaun bank taikun itu dibuat bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram, sebelum siasatan dilancarkan SPRM pada Jun 2018.

Bayaran berjumlah RM4 juta dalam 21 keping cek daripada bekas perdana menteri Najib Razak dikatakan dimasukkan ke dalam akaun bank CIMB milik ahli perniagaan itu.

Bagaimanapun, SPRM mendapati akaun tersebut hanya mempunyai baki RM76,000 ketika ia dibekukan.

Dalam jawapannya kepada Lim, Thomas berkata pihak berkuasa tidak dibenarkan merampas wang daripada 3 akaun lain dibekukan milik taikun itu untuk mencukupkan kurangan sebanyak RM3.9 juta, disebabkan ketiga-tiga akaun itu didapati tidak menerima transaksi meragukan.

Beliau turut beritahu Lim, taikun hartanah itu setuju mengembalikan kira-kira RM330,000 “iaitu hasil yang sama nilainya dengan hasil kutipan haram yang diterima daripada bekas perdana menteri, Najib Razak berhubung skandal SRC”.

“Ini bermakna taikun itu hanya membayar kira-kira 12% daripada apa yang beliau terima,” kata sumber di AGC kepada FMT.

Tambahnya, maklumat mengenai siasatan SPRM seperti yang diberikan kepada Thomas merupakan maklumat sulit.

“Surat bekas peguam negara itu kepada Lim, bagaimanapun, mengandungi beberapa perincian siasatan, yang mendedahkan maklumat sulit terutama kepada seorang ahli politik,” katanya.

Thomas baru-baru ini membidas penggantinya, Idrus Harun dan SPRM selepas Mahkamah Sesyen pada 14 Mei membenarkan permohonan lepas tanpa bebas kepada Riza.

Anak tiri Najib itu didakwa atas pengubahan wang berjumlah AS$248 juta yang diterima syarikat filem Hollywood miliknya Red Granite Pictures, wang yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB.

Di bawah persetujuan dengan pihak pendakwaan itu, Riza perlu mengembalikan kira-kira AS$100 juta, iaitu 40% daripada dana 1MDB yang diterimanya.

Langkah itu mengundang kemarahan bekas pemimpin kerajaan Pakatan Harapan, serta Thomas, yang berkata beliau tidak pernah bersetuju dengan perkara itu kerana yakin Riza akan disabit kesalahan.

Penafian Thomas bagaimanapun dipersoalkan SPRM.

FMT sebelum ini melihat nota tulisan tangan olehnya di mana beliau menyerahkan keputusan kepada timbalan pendakwa raya kanan, Gopal Sri Ram, sambil menyatakan beliau sedia mempertimbangkan representasi daripada peguam Riza.

“Semuanya secara hitam putih, jadi membingungkan bila beliau kata terkejut dengan keputusan mahkamah minggu lepas,” kata seorang sumber di SPRM kepada FMT dalam laporan 20 Mei.